Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memandang serius aduan awam berhubung sikap segelintir peserta himpunan RXZ Members 8.0 yang dikesan menunggang secara melulu, mencetuskan kesesakan serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli menegaskan bahawa kepentingan dan keselamatan masyarakat awam mendahului kepentingan peserta mahupun penganjur program, petik Kosmo.
“Mereka mengatakan jalan raya sesak dan peserta berada di atas jalan raya dalam keadaan tidak selamat, memandu secara melulu serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
“JPJ menjaga kepentingan awam, bukan kepentingan peserta dan bukan kepentingan penganjur. Jadi kalau ada tindakan-tindakan yang membahayakan orang awam, kita akan ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kampung dan Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah, di sini hari ini.
Sehubungan itu, JPJ akan mengetatkan pemantauan, melancarkan operasi penguatkuasaan, dan memanggil pihak penganjur untuk sesi libat urus khas.
Beliau memberi amaran tegas bahawa sokongan terhadap penganjuran program berhimpun sedemikian boleh ditarik balik pada masa hadapan sekiranya insiden sama berulang.
“Selepas ini, sekiranya masih berlaku perkara sama, kita tidak akan menyokong program ini untuk diadakan lagi. Kita mahu memastikan peserta berhemah di jalan raya dan pengguna jalan raya yang lain tidak marah kepada peserta-peserta,” ujarnya.
Tegas beliau, JPJ tidak menyekat aktiviti permotoran, namun tindakan undang-undang tanpa kompromi—termasuk isu pengubahsuaian kenderaan haram—akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.
“JPJ tidak pernah menghalang penganjuran program permotoran selagi ia mematuhi segala peraturan yang ditetapkan. Mana-mana peserta yang tidak patuh, termasuk mengubah suai kenderaan secara tidak mengikut spesifikasi akan dikenakan tindakan tanpa kompromi yang mana itu kita telah mulakan,” katanya