Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk mengekalkan peruntukan 12 waktu pengajaran seminggu bagi Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil di bawah Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027).

Ketetapan tersebut melibatkan pengajaran Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK), Bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), serta Bahasa Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Menurut kenyataan media KPM hari ini, keputusan tersebut dicapai susulan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan berkaitan peruntukan masa pengajaran bahasa dalam kurikulum baharu berkenaan.

“Hasil penelitian dan perbincangan bersama, KPM memutuskan untuk mengekalkan 12 waktu pengajaran seminggu bagi Bahasa Melayu di SK, Bahasa Cina di SJKC dan Bahasa Tamil di SJKT dalam pelaksanaan KP2027.

“Ketetapan ini memastikan peruntukan waktu pengajaran bahasa berkenaan tidak dikurangkan,” jelas kementerian itu menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

KPM turut menghargai setiap pandangan dan cadangan yang dikemukakan oleh semua pihak sepanjang proses perbincangan berlangsung.

“Penguasaan bahasa dan keperluan pembelajaran murid di semua aliran sekolah kekal menjadi keutamaan dalam pembaharuan kurikulum negara,” tambah kenyataan tersebut.