Jika tiub kadbod daripada gulungan tisu yang habis digunakan sering dibuang, apa kata kali ini cuba simpan dan gunakan sebagai bahan kreatif untuk aktiviti seni anak di rumah.
Ia bukan sahaja bahan yang mudah didapati, malah tidak memerlukan kos yang tinggi. Selain itu, dapat menggalakkan aktiviti kitar semula dan menggilap kreativiti anak.
Lihat 9 jenis kraf yang boleh dihasilkan daripada tiub kadbod tisu tandas atau dapur.
1. Bekas Pensel
Tiub kadbod mungkin terlalu tinggi untuk meletakkan pensel dan pen. Jadi, potongkan seperempat atau separuh sahaja. Tampalkan kertas keras di bawahnya sebagai tapak. Hiaskan tiub tadi mengikut kreativiti masing-masing.
2. Tekap Warna
Gunting satu hujung tiub mengikut corak yang tertentu seperti segitiga, segi empat tepat atau bujur. Kemudian, dikembangkan ke arah luar.
Sediakan kertas lukisan atau kertas mahjung. Celupkan tiub ke dalam warna air dan tekapkan ke atas kertas. Terhasillah corak-corak yang menarik!
3. Pasu Bunga
Sudah lihat video di atas ini? Jika nak cara yang lebih mudah, anda hanya perlu balut tiub kadbod dengan kertas pembalut. Kumpulkan beberapa kuntum bunga plastik (bunga daripada bunga telur juga boleh) dan masukkan ke dalam tiub. Hias dan kemaskan pasu bunga mengikut kreativiti sendiri.
4. Roket
Potong tiub anggaran sejengkal orang dewasa (ahli keluarga yang dewasa boleh bantu). Buatkan 3 celahan pada satu hujung tiub untuk diselitkan tapak segi tiga, seperti yang ditunjukkan dalam gambar. Buatkan kon untuk dijadikan kepala roket. Warnakan roket mengikut kesukaan anak.
5. Gelung Tiub
Potong tiub menjadi gelungan kecil yang bersaiz anggaran 1 ke 2 cm setiap satu. Buatkan lubang pada sebelah kiri dan kanan bertentangan. Warnakan semua gelung dengan warna kegemaran. Sambungkan semua gelung dengan tali atau benang bulu.
6. Sotong Kurita
Potong tiub kepada dua bahagian jika terlalu panjang. Warnakan tiub dengan warna biru. Tampalkan mata mainan atau lukiskan mata pada tiub tersebut. Guntingkan hujung tiub dan gulungkan dengan pen atau pensel. Siap seekor sotong kurita!
7. Rama-rama
Gunakan tiub sebagai badan rama-rama. Potongkan kertas kadbod lain sebagai sayapnya. Sayap kemudian dilukis corak dan ditampal pada tiub, lalu dilukiskan mata. Boleh juga tampalkan dawai halus lembut pada bahagian atas tiub sebagai sesungut.
8. Shaker
Tutupkan satu hujung tiub dengan kertas kadbod. Hiaskan tiub dengan kertas warna. Masukkan sedikit kacang hijau atau beras ke dalam tiub tadi. Ambil sekeping plastik lutsinar tebal dan tutupkan satu hujung lagi lalu diikat getah. Shaker dah siap!
9. Jam Tangan
Gunting kadbod bentuk tiub untuk dapat bentuk seperti huruf C. Kemudian, lukis atau tampal kertas bercorak ke atasnya. Apabila sudah siap, tampal pula muka jam tangan.