Konten visual effect semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia oleh sebab visualnya yang menarik dan penuh dengan elemen magis.

Sebut sahaja mengenai VFX, pastinya ramai akan mengaitkan dengan figura terkenal tempatan iaitu Sofyank. Lebih-lebih lagi bila Sofyank dinobatkan sebagai juara Ultimate VFX Challenge di Los Angeles, April lalu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Namun, baru-baru ini Aina Mariah, seorang content creator yang juga mengetengahkan VFX di dalam video-videonya telah menjadi bualan ramai.

Dalam satu hantarannya di TikTok, Aina melakonkan aksi bergayut di blok bangunan seakan-akan Spiderman. Ramai yang terkesima dengan hasil suntingannya itu. Malah video tersebut juga telah mendapat lebih daripada 3 juta tontonan dan media Indonesia turut membuat liputan mengenainya!

Lihat video tersebut di bawah:

@ainamariah

Boleh masuk audition Spider-Man tak? 🤣 #vfx #insta360 #insta360x3

♬ Bang Bang – K’NAAN

Aina mahu siri Aina Tricks lebih dikenali

Dalam satu temu bual bersama Aina Mariah, dia yang bekerja sebagai editor video di REV Media Group memberitahu bahawa dia belajar membuat VFX melalui YouTube semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sepanjang PKP, saya perlu bekerja dari rumah. Jadi sebagai seorang editor video, saya mempunyai banyak masa bersama skrin komputer dan dari situlah saya mula belajar VFX melalui YouTube,” kata Aina.

Sepanjang hampir 5 tahun bekerja sebagai editor video, Aina sentiasa memastikan dirinya belajar perkara dan skil baharu untuk lebih maju ke depan. Dia mengambil inisiatif untuk belajar sendiri dan menjadikan beberapa artis VFX sebagai rujukan dan inpirasi.

Minatnya bermula apabila dia kerap menonton video berkaitan VFX di TikTok. Sejurus itu, dia cuba untuk menghasilkan satu video VFX dan tidak menyangka mendapat sambutan yang hebat daripada orang ramai.

Selepas menghasilkan beberapa jenis video VFX di platform sendiri, Aina mengambil keputusan untuk menerbitkan satu siri di platform SAYS SEISMIK yang dikenali sebagai ‘Aina Tricks’.

Dalam siri tersebut Aina mengetengahkan tiga jenis tema iaitu transition, illusion dan special effect yang mana setiap videonya berjaya mencuri tumpuan pengguna media sosial terutama di Instagram dan TikTok.

“Saya banyak merujuk artis VFX dari dalam dan luar negara. Salah seorang idola saya semestilah Sofyank! Sejak dari awal penglibatan dalam bidang VFX, Aina pernah berimpian untuk berkolaborasi bersama Sofyank dan impian saya itu akhirnya tercapai dalam satu projek, baru-baru ini,” ujar Aina.

Apa yang lebih mengujakan, dia bukan sahaja dapat bersama Sofyank di dalam satu frame, malah sepanjang penggambaran Aina diberi tunjuk ajar sendiri oleh VFX artist terkenal itu.

Selain Sofyank, Aina juga telah menghasilkan banyak video menarik bersama selebriti terkenal tanah air. Dia sendiri tidak menyangka kebanyakan videonya mendapat jutaan tontonan dari pelbagai negara.

Di sini kami himpunkan beberapa video menarik Aina Mariah yang antaranya mendapat jutaan tontonan:

1. Unlimited lemon juice

2. Stranger Things Levitation

3. Multicolors transition

4. TikTok Trend

5. Collab dengan Auntie Purple!

Follow Aina Mariah dan SAYS SEISMIK di Instagram untuk menonton lebih banyak video menarik. Tahniah dan moga Aina hasilkan lebih banyak video epik selepas ini!