SAYS dengan bangganya mengumumkan pelancaran Nandini Mana?!, sebuah siri video baharu yang berani meneroka persilangan budaya, sejarah, dan identiti dari sudut pandang rakyat Malaysia.

Dihoskan oleh Ketua Video SAYS, Nandini Balakrishnan, Nandini Mana?! membawa penonton menyusuri pengembaraan yang membuka mata merentas Asia dan Eropah — membongkar kisah-kisah yang mencerminkan warisan bersama, hubungan kulinari, serta ikatan mendalam antara Malaysia dan komuniti di seluruh dunia.

Dengan hanya menaiki dua penerbangan dan had bajet harian RM170, Nandini akan mengembara menggunakan jalan darat, rel dan laut.

Di setiap destinasi, dia perlu menyelesaikan tiga cabaran iaitu makan hanya makanan tempatan, belajar sekurang-kurangnya lima perkataan tempatan dan kumpul satu kotak mancis.

Treler Nandini Mana?! telah pun meraih lebih 262,000 tontonan dan hampir 500 komen di Instagram sahaja — membuktikan rakyat Malaysia dahagakan cerita-cerita yang bermakna, boleh dikaitkan, dan menyentuh jiwa.

Anda boleh tonton treler siri ini di bawah.

2 Bulan Pengembaraan, 3 Benua, 1 Perspektif Malaysia

Siri ini bermula pada 30 Jun, dengan destinasi pertama Nandini di Sri Lanka — meliputi Colombo, Trincomalee dan Jaffna. Objektif utamanya adalah untuk menjejaki laluan diaspora Tamil serta hubungan budaya yang mencerminkan asas kemajmukan Malaysia sendiri.

Tahukah anda bahawa terdapat komuniti Melayu di Sri Lanka?

SAYS Lancarkan 'Nandini Mana?!', Siri Video Menyelusuri Warisan Global Dari Sudut Pandang Malaysia
Sumber Gambar: SAYS

Dalam episod pertama Nandini Mana?!, Nandini menemubual pemilik restoran wanita dari komuniti Melayu Sri Lanka sambil menikmati hidangan tempatan yang autentik. Episod sulung ini mencatat lebih 211,000 tontonan sebaik ditayangkan — satu permulaan yang memberangsangkan dan berjaya menetapkan nada bagi keseluruhan siri ini.

Tonton Episod 1 di sini:

Dari situ, Nandini akan menaiki feri ke India untuk menyelami kekayaan budaya Tamil Nadu, menerusi destinasi seperti Trichy, Madurai, Pondicherry, dan Chennai.

Seterusnya, beliau akan terbang ke barat menuju Istanbul, sebelum meneruskan perjalanan darat merentasi Greece, North Macedonia, Albania, Itali, Perancis, Sepanyol, Portugal, dan akhirnya ke England.

Siri yang Penuh Wawasan, Jujur, dan Sangat Malaysia

Nandini Mana?! bukan sekadar rancangan pelancongan biasa. Setiap minggu, video berdurasi 2 hingga 3 minit akan dimuat naik di media sosial rasmi SAYS — merakam momen penemuan budaya, renungan sejarah, serta kaitannya kembali dengan Malaysia.

Format siri ini menggabungkan gaya khas “Nandini SAYS” yang dikenali ramai dengan pendekatan jurnal perjalanan yang lebih peribadi.

“Saya mahu teroka tempat-tempat yang nampak jauh dari Malaysia, tapi sebenarnya sangat dekat — melalui makanan, migrasi, bahasa, atau sejarah yang dikongsi bersama.

“Sebenarnya banyak kaitan yang wujud, dan saya nak tunjukkan dengan cara yang jujur, tulen, dan sangat Malaysia. Jom lawatan sambil belajar dengan saya!” kata Nandini.

Ikuti pengembaraan ini dan tonton setiap episod Nandini Mana?! di Instagram, Facebook dan TikTok SAYS.

Untuk maklumat lanjut, layari www.says.com.