Pejam celik, pejam celik, kita sudah pun berada di penghujung tahun. Selalunya, bulan November dan Disember sangat sinonim dengan persiapan cuti sekolah, jualan akhir tahun, dan hiasan perayaan Krismas.

Namun, lain pula ceritanya yang berlaku di sebuah pasar raya tempatan baru-baru ini sehingga membuatkan ramai netizen geli hati dan sedikit keliru dengan peredaran masa.

Kejutan Awal Tahun Baru Cina Di NSK

Semuanya bermula apabila seorang pengguna laman sosial Threads, @crysteve_pj, memuat naik sebuah video pendek yang memaparkan suasana di pasar raya NSK.

Kapsyen asalnya yang ditulis dalam bahasa Mandarin berbunyi, “Nampak kerepek ngaku goreng panas-panas dekat NSK!” pantas menarik perhatian ramai pengguna media sosial tersebut.

Apa yang membuatkan video tersebut tular adalah pemandangan luar biasa seorang pekerja NSK yang lengkap memakai jaring rambut, pelitup muka, dan sarung tangan, sedang tekun menyagat ubi ngaku terus ke dalam kuali minyak yang panas.

Bersebelahan pekerja tersebut, kelihatan bakul dan balang-balang plastik yang sudah siap diisi dengan kerepek ngaku kuning keemasan.

Lebih menarik, tanda harga besar di situ jelas memaparkan produk Arrow Head bersaiz M gred 1 dari China, dijual pada harga RM11.99 sebalang.

Bukan setakat kerepek yang menjadi bualan, tetapi lagu latar perayaan Tahun Baru Cina yang dipadankan di dalam video itu benar-benar membangkitkan suasana perayaan yang disifatkan agak terlalu awal.

Reaksi Netizen Yang Pecah Perut

Rata-rata netizen yang singgah ke ruangan komen tidak dapat menyembunyikan rasa terhibur mereka dengan situasi tersebut. Ramai yang mempersoalkan mengapa persiapan Tahun Baru Cina bermula terlalu awal memandangkan sambutan Krismas pun masih belum tiba.

Seorang pengguna bernama chuinklp memberikan komen, “Krismas pun belum tiba, kita dah nak sambut Tahun Baru Cina ke?”.

Perkara ini turut disokong oleh asdfxraaghjkl yang kagum melihat proses pembuatannya secara langsung, “Wah, live depan mata buat kerepek ngaku. Krismas pun belum, dah prepare CNY”.

Tidak kurang juga yang berasa bingung dengan masa yang dirasakan berlalu begitu pantas. Pengguna tiu10093 bertanya secara sinis, “Bulan 11 ke bulan 1 sekarang ni?”.

Manakala aloha_babe11 pula berkongsi rasa terkejutnya apabila mula-mula memainkan video tersebut, “Buka je video terus dengar lagu Tahun Baru, terkejut dibuatnya. Kenapa dah Tahun Baru balik ni?”.

Krismas Belum Menyapa Lagi

Sesi berbalas komen menjadi lebih gamat dan santai apabila netizen mula membuat jenaka tentang watak-watak perayaan.

“Bawa bertenang, Santa Claus pun masih dalam perjalanan lagi tu,” usik seorang pengguna bernama mmureul_.

Komen tersebut pantas dibalas dengan penuh humor oleh @crysteve_pj sendiri, “Dewa Kekayaan dah potong jalan dulu, hhhh”.

Malah, ada netizen bernama dimineinei yang seolah-olah pasrah dengan keadaan itu sambil meninggalkan komen lucu, “Tolonglah, Krismas pun belum sampai dan belum lepas lagi, kau dah pasang lagu Tahun Baru…”.

Kerepek Ngaku Memang Berhantu

Di sebalik kekeliruan tentang perayaan mana yang sepatutnya disambut dahulu, ramai yang bersetuju bahawa kerepek ngaku atau ubi keledek Cina ini memang sejenis snek yang sangat dinantikan.

Bagi penggemar snek, kemunculan kerepek ini adalah satu berita baik. Pengguna 36typesofreverie menyifatkan snek tersebut dengan kata-kata, “Kerepek ni lagi buat ketagih daripada makan kerepek ubi kayu”.

S.typhi pula tampil memberikan pencerahan kepada mereka yang kurang arif tentang mengapa ramai yang terkejut. “Kerepek ngaku, biasa untuk CNY. Pasal tu dorang ni pelik, Krismas pun belum lagi, dah ada dah kerepek ni”.

Bagi anda yang tertanya-tanya di mana lokasi sebenar kejadian riuh ini, seorang netizen bernama haulam_ tampil berkongsi bahawa cawangan pasar raya tersebut terletak di NSK Mahkota Cheras.

Jadi, bagi mereka yang sudah mula mengidam kerepek ngaku segar yang digoreng panas-panas, mungkin sudah boleh merancang perjalanan ke sana. Nampaknya, tidak salah untuk mula mengumpul bekalan snek Tahun Baru lebih awal sebelum stok licin disapu orang!