Sejak lebih sedekad lalu, peraturan kuota pemain import dalam saingan Liga Malaysia berubah-ubah mengikut keperluan semasa bola sepak tempatan.

Bermula dengan era ‘bersih tanpa import’ pada 2009 hingga 2011, liga kita kemudian memasuki fasa pembukaan semula pintu import secara berperingkat.

Baca Juga:

Setiap perubahan yang dilakukan daripada hanya dua pemain pada 2012 sehinggalah penambahan slot Asia dan Asia Tenggara (ASEAN) mencerminkan usaha liga untuk kekal kompetitif.

Perjalanan perubahan kuota ini tidak berlaku sekaligus tetapi melalui beberapa fasa penting yang membentuk struktur liga hari ini.

Berikut ialah kronologi bagaimana peraturan penggunaan pemain import dalam Liga Malaysia berkembang dari tahun ke tahun:

Pemain Import Dalam Liga Malaysia

2009 hingga 2011

Untuk rekod, pemain import telah dibenarkan beraksi sejak zaman Liga Semi Pro di Malaysia pada tahun 1989 tetapi pada Ogos 2008 terdapat pengumuman mengejutkan.

Hal ini kerana selepas berakhirnya lima edisi Liga Super, perubahan drastik dilakukan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan melarang penggunaan pemain import bagi pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia.

2012-2013

Tiga musim tanpa kelibat pemain import, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM kembali membenarkan pemain import beraksi dalam saingan Liga Malaysia dengan kuota dua pemain dengan kuota bebas diberikan kepada setiap pasukan.

Pasukan yang beraksi dalam Piala AFC bagi kedua-dua musim diberikan peluang mendaftarkan dua lagi pemain import tetapi mereka hanya dibenarkan beraksi dalam kejohanan tersebut sahaja.

2014

Pertambahan kuota dapat disaksikan pada musim ini dengan empat pemain import dengan syarat salah seorangnya mesti daripada pemain dari benua Asia.

Hanya tiga pemain dibenarkan untuk beraksi dalam satu-satu perlawanan.

2015 hingga 2017

Tiada perubahan dilakukan dengan mengekalkan kuota empat pemain import dengan salah seorang daripadanya merupakan slot wajib bagi pemain Asia

Tetapi, lebih menarik keempat-empat pemain tersebut dibenarkan untuk beraksi serentak tanpa ada sebarang pengecualian.

2018 hingga 2022

Tiga musim kemudian terdapat pertambahan satu lagi kuota dalam Liga Super iaitu slot kepada pemain dari ASEAN. Ini adalah tambahan kepada empat slot pemain import sedia ada (1 slot wajib pemain Asia dan 3 pemain dari benua lain).

Bagaimanapun pada ketika itu, pasukan yang beraksi dalam Liga Premier masih kekal tanpa slot pemain dari ASEAN.

Dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia, pasukan dari Liga Super hanya boleh menurunkan empat pemain import sahaja.

2023

Lebih ramai pemain dari luar negara dibenarkan pada musim ini apabila sembilan pemain boleh didaftarkan dengan komposisi 7 pemain dari benua lain, 1 kuota Asia dan 1 ASEAN.

Hanya lima pemain (3 pemain benua lain + 1 Asia +1 ASEAN) dibenarkan beraksi dalam satu-satu masa dan seorang pemain boleh berada di bangku simpanan.

2024/25

Kuota sama sembilan pemain kekal pada musim ini tetapi ada pertambahan daripada segi pemain yang dibenarkan turun dalam satu-satu perlawanan.

Enam pemain dengan empat kuota terbuka bersama-sama satu slot Asia dan ASEAN dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa dengan seorang pemain di bangku simpanan.

Pasukan yang beraksi dalam kejohanan AFC pula dibenarkan untuk mendaftarkan 10 pemain (8 + 1 kuota Asia + 1 ASEAN).

2025/26

Semua kelab dibenarkan mendaftarkan pemain asing sejumlah 15 pemain dimana kuota pemain di atas padang adalah seramai 6 dengan komposisi 4 + 1 Asia + 1 ASEAN manakala tiga pemain lagi di bangku simpanan.