AirAsia mengumumkan pindaan pada polisi uniform anak kapalnya yang membenarkan kru wanita untuk memakai hijab ketika bertugas.
Langkah ini selari dengan budaya ‘people-first‘ AirAsia serta evolusi berterusan yang dibentuk melalui maklum balas kakitangan dan orang ramai.
Baca Juga:
- Bukan Salah Tempat, AirAsia X Jelaskan Sebab Pesawat Mendarat Di Lapangan Terbang Gimpo

- Aksi Heroik Kru AirAsia Selamatkan Bayi Sakit Dalam Penerbangan, Ibu Luah Rasa Terima Kasih Tak Terhingga

- ‘Harga Tambang AirAsia Mungkin Dapat Dikurangkan’ – Tony Fernandes

“Salah satu kekuatan terbesar AirAsia sejak dulu ialah Allstars kami yang pelbagai dan berani bersuara. Apabila kru kabin kami membangkitkan perkara ini kepada pihak pengurusan, adalah penting untuk kami mendengar.
“Menghormati pandangan serta kepercayaan yang berbeza bukan sahaja sebahagian daripada budaya kami, malah itulah yang membentuk kejayaan kami selama ini. Begitulah cara kami berkembang: dengan berevolusi bersama, dipandu oleh suara warga kami,” kata Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A.
Kru kabin AirAsia sebelum ini sudah memakai hijab bagi operasi laluan tertentu, seperti Jeddah, di mana pemakaiannya diwajibkan oleh peraturan tempatan.
Kemaskini terbaharu ini memperluas kelonggaran tersebut kepada semua kru kabin wanita yang memilih untuk memakainya, sekali gus memastikan keseragaman di seluruh rangkaian penerbangan AirAsia sambil mengekalkan identiti jenama yang profesional dan tersendiri.
“Saya berbangga kerana pembaharuan ini mencerminkan perkembangan dan perluasan AirAsia sebagai syarikat penerbangan global dengan tenaga kerja yang pelbagai, selari dengan komuniti dan budaya yang kami sambungkan setiap hari.
Uniform kami sentiasa melambangkan profesionalisme, keselamatan dan keselesaan, dan evolusi ini mengukuhkan asas tersebut dengan memberi keyakinan kepada warga kami untuk mewakili AirAsia dengan cara yang selari dengan kepercayaan dan nilai mereka,” kata Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, AirAsia Aviation Group.
Sementara Suhaila Hassan, Ketua Jabatan Kru Kabin Kumpulan pula berkata polisi terbaharu ini mencerminkan semangat kepelbagaian dan dinamik yang menjadi identiti AirAsia.
“Allstars kami datang daripada pelbagai latar belakang, budaya dan kepercayaan, namun kami disatukan oleh komitmen yang sama untuk memberikan perkhidmatan dan penjagaan bertaraf dunia kepada para tetamu.
“Kami akan terus mengumpul maklum balas daripada Allstars dan bekerjasama rapat dengan mereka mengenai reka bentuk serta pelaksanaan terperinci sebelum ia diperkenalkan sepenuhnya. Kami berharap untuk memulakannya pada bulan Ramadan tahun 2026,” kata beliau.