Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menerusi satu makluman di platform Threads rasminya telah berkongsi panduan khas bagi membantu penumpang memilih tempat duduk ETS mengikut arah perjalanan semasa membuat tempahan tiket secara dalam talian.

Perkongsian tersebut dibuat bagi menjawab pertanyaan pengguna Threads @shizuku7_, yang bertanyakan cara untuk memastikan tempat duduk yang dipilih menghadap ke hadapan mengikut arah perjalanan tren dan bukannya mengundur.

Menurut KTMB, arah dan kedudukan tempat duduk dalam aplikasi tempahan boleh dikenalpasti menerusi kod warna berikut:

1. Hijau (Facing Forward): Tempat duduk yang menghadap ke hadapan mengikut arah perjalanan tren.

2. Biru (Facing Backward): Tempat duduk yang melawan arus atau menghadap ke belakang (mengundur).

3. Kuning (Facing 4 People): Tempat duduk berserta meja yang berhadapan dengan empat penumpang lain.

 

View on Threads

 

Cara Pilih Tempat Duduk Tepi Tingkat ETS

Dalam masa sama pengguna Threads @cikbungahati90 menanyakan cara memilih tempat duduk tepi tingkap ETS yang mempunyai pemandangan dan bukannya dihalang dinding.

Menjawab isu berkenaan, KTMB menjelaskan bahawa kedudukan tingkap bagi setiap tempat duduk adalah bergantung kepada jenis set tren ETS yang digunakan bagi laluan tersebut.

Justeru, pihak KTMB tidak dapat memastikan secara khusus sama ada tempat duduk tepi tingkap yang dipilih penumpang akan mendapat pemandangan luar atau dihalang oleh dinding.

Panduan serta penjelasan ini diharapkan dapat membantu orang ramai membuat pilihan terbaik mengikut keselesaan masing-masing sebelum memulakan perjalanan.