Jika anda membesar pada tahun 2000-an, sosok kucing bernama Maru bukan asing lagi apabila video pertamanya yang memaparkan obsesinya terhadap kotak kadbod menjadi viral dan dengan pantas menarik jutaan penonton.
Kucing inilah telah mewarnai kehidupan ramai orang di peringakat global kerana keletahnya yang menghiburkan.
Bagaimanapun, Maru, kucing lagenda YouTube yang terkenal dengan video ‘kalau muat, saya duduk’, telah meninggal dunia pada 6 September 2025 pada usia 18 tahun.
Menurut pemiliknya, Maru telah sakit beberapa minggu sebelum disahkan menghidap kanser paru-paru, dan keadaannya merosot dengan cepat. Kematian Maru merupakan berita yang menyedihkan bagi jutaan peminatnya di seluruh dunia.
Buat mereka yang tidak mengenali kucing lagenda ini, Maru ialah seekor kucing baka Scottish Straight dari Jepun yang terkenal di seluruh dunia melalui video YouTube. Dia dilahirkan pada 24 Mei 2007.
Video-video Maru dimuat naik di saluran YouTube bernama “mugumogu”. Pemiliknya jarang sekali menunjukkan diri dalam video, tetapi menggunakan papan teks dalam bahasa Inggeris dan Jepun untuk menceritakan gelagatnya.
Maru menjadi fenomena internet kerana tingkah lakunya yang unik, terutamanya obsesinya untuk memuatkan diri ke dalam kotak kadbod, tidak kira seberapa kecil pun saiz kotak itu.
Pada tahun 2016, Maru telah diiktiraf oleh Guinness World Records kerana mempunyai tontonan video YouTube paling banyak untuk seekor haiwan individu. Walaupun rekod ini kemudiannya dipecahkan, Maru tetap dikenali sebagai salah satu kucing internet yang paling popular sepanjang zaman.
Pada tahun 2013, Maru mendapat teman baharu iaitu seekor anak kucing betina bernama Hana, dan kemudiannya seekor lagi bernama Miri pada tahun 2020.
Ini antara video terawal kucing tersebut yang membuatkan dia menjadi selebriti popular di platform YouTube:-