Sindiket dadah nampaknya mengambil pendekatan yang bijak untuk menyeludup dadah, terbaharu dalam operasi yang dilakukan oleh Jabatan Kastam Johor, pihak berkuasa berjaya menumpaskan sindiket pengedaran ganja yang disembunyikan di dalam kuih raya.

Pengarah Jabatan Kastam Johor, Misbahudin Parmin, mendedahkan bahawa selepas tiga bulan pihak berkuasa melakukan risikan, pihak berkuasa akhirnya berjaya memecahkan kes ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dalam serbuan ke atas pejabat sebuah syarikat perkapalan di Johor Bahru bulan lalu telah membawa kepada pendedahan cara baharu sindiket pengedaran dadah.

“Ini merupakan kali pertama sindiket penyeludupan dadah diberkas menggunakan modus operandi seperti itu, menyembunyikan dadah bersama biskut raya yang dihantar melalui syarikat penghantaran untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.”

Pada 11 April yang lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan di sebuah syarikat penghantaran. Dia ditahan bersama-sama bungkusan yang dijadualkan untuk dihantar menuju ke Sabah dan Sarawak.

Penahanan itu ternyata membuahkan hasil selepas pihak berkuasa melakukan lagi satu serbuan di sebuah kediaman di Johor Bahru.

The Star melaporkan bahawa semasa serbuan, pihak berkuasa menemui ganja yang belum diproses. Difahamkan bahawa lokasi itu berfungsi sebagai pusat pembungkusan sevelum kerja-kerja penyeludupan dilakukan.

Menurut Misbahudin, biskut raya itu dijual secara dalam talian pada harga lebih RM100.

Dia menjelaskan, “Balang itu lutsinar, nampak rupa macam biskut biasa, tetapi tersembunyi di dalamnya adalah bungkusan ganja.”

“Walaupun biskut raya tradisional biasanya dijual pada harga RM30, biskut raya ‘istimewa’ ini mendapat harga yang lebih tinggi kerana kandungan terlarang,”tambahnya.

Usaha bersama akhirnya membawa kepada rampasan kira-kira 24 kilogram ganja mampat, dengan anggaran nilai sebanyak RM82,874.

Sumber