Pada hari semalam Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan setuju untuk meneruskan ‘PLKN 3.0’ dengan kaedah latihan berbeza berbanding sebelumnya, di mana anak muda akan menjalani latihan di kem tentera.

Architects of Diversity (Persatuan Pendidikan Diversiti), pertubuhan bukan keuntungan belia, menyokong idea untuk melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan mencadangkan perpaduan sosial menjadi fokus teras program.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Malaysia amat memerlukan inisiatif untuk membina semula hubungan antara kaum yang semakin bersifat terasing. Dasawarsa ini, pengasingan kumpulan etnik dan agama dalam kalangan belia telah meningkat ke paras tertinggi.

Sejak tahun 2015, hanya sekitar empat peratus pelajar Cina menghadiri sekolah rendah kebangsaan. Malahan, peningkatan jumlah sekolah swasta dan antarabangsa telahpun membahagikan pelajar Malaysia mengikut dimensi sosioekonomi dan agama.

Selain itu, kebanyakan program kerajaan untuk integrasi seperti Rancangan Integrasi Pelajar untuk Perpaduan (RIMUP) yang membina jambatan antara pelajar dari latar belakang pendidikan yang berbeza, telahpun difasa keluar atau dimansuhkan.

Ruang gema media sosial juga menambah lagi kesan kebencian dan menjadikan belia lebih mudah terdedah kepada naratif ekstremis, yang dilihat semasa PRU15 di mana remaja menghasilkan video TikTok yang menguar-uarkan tragedi 13 Mei berulang.

PLKN berpotensi membina semula jambatan sosial dan memupuk keamanan dalam kalangan belia. Ciri-ciri PLKN yang unik termasuk penempatan kem yang memberikan pengalaman yang mendalam untuk peserta, pelatih yang pelbagai latar belakang melalui sistem conscription, serta fokus pada identiti nasional, tidak akan dapat dicapai melalui bentuk intervensi lain.

Bagi memastikan PLKN 3.0 memenuhi potensi penuhnya, Persatuan Pendidikan Diversiti mencadangkan pembaharuan berikut:

1. Fokus pada perpaduan sosial

Keadaan rapuh perpaduan kaum dan agama dalam kalangan belia merupakan satu kekangan negara yang paling mustahak. Seiring teras keselamatan dan nasionalisme sebagai matlamat yang boleh dicapai secara serentak, reka bentuk dan pengaturcaraan PLKN harus menekankan potensinya untuk membina hubungan sosial dalam kalangan belia daripada latar belakang yang berbeza dan menyokong nilai-nilai yang penting seperti empati dan persefahaman.

2. Keperluan fasa pilot

Pihak kami mencadangkan fasa pilot selama satu tahun sebelum pelaksanaan berskala untuk memastikan keberkesanan program, mengukuhkan kepercayaan orang ramai terhadap PLKN dan mengelakkan pembaziran kewangan. Penilaian bebas dan adil harus dibenarkan dengan menjadikan universiti dan organisasi masyarakat sivil sebagai rakan strategik untuk melaksanakan penilaian yang sesuai terhadap keberkesanan PLKN dalam mencapai matlamatnya.

3. Perwakilan non-partisan dan belia dalam Majlis dan Jawatankuasa Penubuhan PLKN

Pembuatan keputusan yang inklusif diperlukan dari awal hingga pelaksanaan untuk memastikan PLKN dijalankan secara berkesan. Ahli Majlis dan Jawatankuasa Penubuhan PLKN hendaklah
bersifat non-partisan untuk mengekalkan jarak program dari tangkapan politik. Selain itu, pihak kami mencadangkan perwakilan belia dalam Majlis dan Jawatankuasa Penubuhan untuk
memastikan suara belia didengar dalam proses pelaksanaan.

4. Jurulatih pelbagai latar belakang

Kepelbagaian etnik dalam kalangan jurulatih diperlukan untuk memodelkan hubungan antara kaum yang positif dan menggalakkan dinamik yang sihat di kem PLKN.

Kajian terdahulu telah mencadangkan peningkatan kepelbagaian etnik dalam kalangan jurulatih kem untuk memastikan “persekitaran yang selamat dan tidak mengancam” untuk kaum minoriti.

Pihak kami mencadangkan pelaksanaan kaedah pengambilan jurulatih Peace Corps yang mengambil graduan universiti terkemuka sebagai jurulatih selama 1-2 tahun untuk memastikan pelaksanaan PLKN yang berkualiti tinggi.

5. Pengurusan perolehan dan ombudsman yang mantap untuk mencegah penyalahgunaan kuasa

Kepercayaan orang ramai terhadap PLKN telah banyak berkurangan berikutan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebelum ini seperti kes buli, gangguan seksual dan kecuaian.
Pengurusan perolehan barangan material mesti tertakluk kepada pengawasan ketat dengan proses semakan bipartisan.

Selain itu, pihak kami mencadangkan penubuhan ombudsman bebas dengan kuasa penyiasatan dan pentadbiran bagi melindungi kebajikan peserta PLKN.

Sehubungan itu Kumpulan Belia memohon Kementerian Pertahanan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Parlimen untuk melibatkan pertubuhan belia dan masyarakat sivil dalam perbincangan perancangan dan pelaksanaan PLKN.

Kertas Putih yang mengandungi senarai cadangan Kumpulan Belia boleh diakses melalui pautan ini.