Kumpulan trip-hop terkenal dari United Kingdom, Massive Attack, menjadi perhatian selepas dua anggotanya dilaporkan dilarang memasuki Singapura susulan tindakan mengibarkan bendera Pal*stina ketika mengadakan persembahan di negara itu.
Menurut laporan Al Jazeera, insiden tersebut berlaku ketika konsert mereka apabila Robert Del Naja dan Grant Marshall membawa bendera Pal*stina ke atas pentas sebagai tanda solidariti terhadap rakyat di Gaza.
Mereka turut melaungkan slogan yang berkaitan dengan sokongan terhadap pembebasan Pal*stin di hadapan ribuan penonton.
Rakaman kejadian itu kemudiannya tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi daripada orang ramai.
@aljazeeraenglish Singapore barred two members of British band Massive Attack from re-entering the country after they unfurled a Palestinian flag on stage. . Authorities said they were investigated over support for a political cause and displaying a foreign flag without permission. . #news
Ketika ramai yang memuji tindakan itu, ada juga segelintir pihak yang kurang senang dengan tindakan tersebut. Massive Attack memang dikenali dengan pendirian tegas mereka menyokong pasukan Palestin.
Singapura pula sememangnya mempunyai undang-undang yang tegas berhubung penyampaian mesej berunsur politik dalam acara hiburan awam.
Persembahan artis antarabangsa tertakluk kepada syarat permit yang ditetapkan, termasuk larangan menggunakan pentas untuk menyampaikan mesej politik atau memaparkan simbol yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa Singapura dilaporkan mengambil tindakan dengan melarang Robert Del Naja dan Grant Marshall daripada memasuki negara tersebut pada masa akan datang.
Bagaimanapun, belum ada kenyataan rasmi yang menjelaskan sama ada larangan itu bersifat kekal atau mempunyai tempoh tertentu.
Massive Attack bukanlah asing dalam memperjuangkan isu kemanusiaan.
Sejak ditubuhkan di Bristol pada 1988, kumpulan yang terkenal dengan lagu seperti Teardrop dan Unfinished Sympathy itu sering menggunakan platform muzik mereka untuk menyuarakan pendirian mengenai peperangan, hak asasi manusia dan konflik di Timur Tengah.
Mereka juga antara artis yang lantang menggesa gencatan senjata di Gaza serta beberapa kali menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin menerusi kenyataan awam dan persembahan pentas.
Sehingga kini, pihak Massive Attack masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung laporan yang mendakwa dua anggotanya dikenakan larangan memasuki Singapura.