Malaysian Football League (MFL) mengumumkan beberapa ketetapan yang dibuat hasil daripada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) Ke-13 Bagi Penggal 2021-2025 semalam (22 Mei 2025).

BOD MFL telah bersetuju untuk meminda jumlah pendaaran pemain iaitu 34 pemain untuk kelab yang bersaing dalam ACL Elite dan ACL2, 32 pemain untuk kelab-kelab lain kepada 30 pemain kepada semua kelab.

Manakala semua kelab dibenarkan mendaftar pemain asing sejumlah 15 pemain dengan kuota pemain asing di atas padang seramai 7+2 (simpanan) dengan komposisi 4 Terbuka+1 Asia+2 Asean.

Berbanding 12 pemain asing dibenarkan didaftarkan oleh kelab ACLE dan ACL2 dan hanya 9 pemain asing bagi kelab-kelab lain dengan 6+1 (simpanan) pemain asing di atas padang menerusi komposisi 4 Terbuka+1 Asia+1 Asean sebelum ini.

Bagaimanapun setiap kelab hendaklah diwajibkan untuk memenuhi kuota pemain asing ini sebaliknya ia bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan kelab masing-masing.

Pemain Import
Mykola Ahapov dan Ismaheel Akinade antara pemain import yang beraksi pada musim lalu dalam Liga Super. Kredit Foto: NSTP

Ini kerana perbelanjaan kelab bakal dipantau menerusi pelaksanaan FFP dengan menguatkuasakan mekanisme gaji siling ‘salary cap’ sebanyak 80 peratus kepada setiap kelab musim ini.

Alasan Pertambahan Pemain Import

Perubahan kuota import ini dibuat bagi memberi kesaksamaan kepada semua kelab dalam pendaftaran pemain import serta meningkatkan daya saing Liga Malaysia dengan kehadiran pemain import berkuali berikutan jendela perpindahan pemain dalam tempoh sama dengan liga-liga besar luar negara.

Kehadiran pemain import ini akan memberi daya tarikan kepada Liga Malaysia sekali gus meningkatkan nilai komersial Liga Malaysia dan kelab-kelab yang bertanding.

Pemain Import
Bergson da Silva cukup berpengalaman dalam aksi Liga Super. Kredit Foto: NSTP

Selain itu pertambahan kuota pemain import ini dilihat akan dapat membantu kelab yang akan bersaing di kejohanan ACLE, ACL2 dan kejohanan Kelab Asia Tenggara memandangkan cabaran semakin hebat diberikan kelab-kelab besar di rantau ini.

Penyertaan kelab Liga Malaysia di kejohanan kelolaan AFC penting bagi kedudukan ranking kelab AFC untuk membolehkan kelab-kelab Liga Malaysia terus mendapat slot atau pertambahan slot bersaing di pentas tertinggi Asia.

Aksi di peringkat tinggi ini penting untuk pendedahan pemain-pemain tempatan untuk menjadi tunjang kekuatan skuad Harimau Malaya yang berdepan cabaran besar dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027.