3 Hari tayangan, RM5 juta sudah berjaya dikutip. Negara kini sedang ‘demam’ Mechamato Movie pula!

Berpeluang menonton filem ini lebih awal daripada sebelum berada di pawagam pada 8 Disember lalu, penulis sendiri boleh jangka filem ini tidak akan tunggu lama untuk buat kutipan RM1 juta yang pertama. Malah, kutipan RM1 juta itu dibuat pada hari pertama ia ditayangkan di pawagam lagi!

HYPE
Uban Hilang, Keyakinan Kembali! Alpecin Grey Attack Muncul Sebagai Hero Rambut Anda
Baca lagi →

Baca Juga:

Jenama Mechamato sebelum ini telah menunjukkan taringnya apabila siri animasi tersebut berjaya memukau penonton di Jepun, apabila menjadi satu-satunya siri animasi luar yang tersenarai dalam kedudukan TOP 3 Tokyo Anime Award Festival 2023.

Jadi kita ke sinopsis filem ini dahulu. Filem ini mengisahkan Amato , secara tidak sengaja bertemu MechaBot sebuah ‘Power Sphera’ yang berkebolehan untuk ‘Mechanize’ dengan objek lain. Keadaan menjadi lebih genting, apabila Mechamato bakal berhadapan dengan alien jahat bernama Grakakus, yang ingin merampas MechaBot daripada tangan Amato.

Berbeza dengan studio penerbitan yang lain, MONSTA bukan sahaja kongsikan trailer, tetapi 10 minit pertama filem ini saluran YouTube! Jadi anda boleh tonton dahulu 10 minit pertama ini pada di atas cuma yang tidak seronoknya, bila dah tonton rasa tak puas, dan terus kena beli tiket untuk tonton di pawagam.

Selain itu, Mechamato Movie berlatarkan sebuah bandar fiksyen yang diinspirasikan dari Bandar Hilir di Melaka. Ia juga menampilkan keunikan budaya Malaysia seperti silat, budaya peranakan dan makanan tempatan yang digabungkan dengan elemen futuristik seperti robot dan kapal angkasa.

Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak yang merupakan penulis dan juga pengarah filem ini berkata, “Ia adalah cita-cita MONSTA untuk memperkasakan budaya Malaysia menerusi Mechamato Movie. Latar tempat utama filem ini dinamakan Kota Hilir — yang diinspirasikan dari seni bina Bandar Hilir dan Kota Melaka.

“MONSTA turut menampilkan elemen-elemen tradisional seperti destar, keris, beca dan makanan tradisi seperti karipap. MONSTA berharap para penonton lokal dan di peringkat global dapat mengenali keunikan Malaysia menerusi Mechamato Movie.”

Penulis sangat sukakan smoothness serta attention to details yang ada pada filem ini; pergerakan Amato yang lancar ketika bertarung, urat tangan pada tangan Tok Sah, lagu latar yang fresh oleh Yonniboii. Pendek kata semuanya serba serbi terbaik!

Kemunculan watak BagoGo walaupun singkat, ternyata memberi senyuman kepada semua yang menonton. Kalau anda peminat setia siri BoBoiBoy, anda pasti akan terlebih excited bila nampak watak BagoGo ini. Memang dia seorang salesman yang hebat, hingga di saat nyawa hampir ditarik pun boleh berniaga lagi.

Filem yang berdurasi 2 jam ini ternyata tidak rasa panjang pun kerana ia diisi dengan jenaka yang orang dewasa pun akan ketawa besar. Percayalah, bukan sahaja si anak akan enjoy, tetapi si bapa pun akan turut berdekah bersama bila menonton filem ini.

Adakah anda akan terlepas apa-apa jika filem tidak menonton siri Mechamato dahulu sebelum tonton Mechamato Movie? Jawapannya tidak kerana filem Mechamato adalah backstory bagaimana Amato bertemu MechaBot. Dalam sirinya, pertemuan antara Amato dan MechaBot hanya diceritakan secara ringkas sahaja. Jadi lepas anda habis tonton filem, boleh terus sambung ke siri di Netflix!

Seperti filem-filem sebelum ini, MONSTA sentiasa menerapkan nilai-nilai murni dalam setiap karya yang diterbitkan. Mechamato Movie jelas mempamerkan nilai-nilai murni seperti percaya kepada kebolehan diri, berani mencuba dan berusaha tanpa mudah berputus asa. Secara tidak langsung, dapat terap nilai-nilai ini dalam diri anak-anak.

Setinggi-tinggi pujian harus diberi kepada Nizam Abd Razak dan pasukannya kerana berjaya menghasilkan siri yang hebat ini. Rakyat Malaysia pasti sangat bangga kita mampu hasilkan animasi setanding studio animasi gergasi luar negara, yang jauh lebih berpengalaman daripada MONSTA.

Disebabkan itu, kami beri rating 9/10 untuk Mechamato Movie. Penting! Jangan keluar pawagam awal dan tunggu sehingga end credit kerana ada footage extra yang pastinya buat anda jadi sangat teruja. Mungkin akan ada gabungan ‘ayah dan anak’ pula di masa akan datang? Sama-sama kita nantikan. Selamat menonton!