Penyokong Selangor mendapat pujian dari pelbagai pihak selepas tular gambar yang menunjukkan mereka mengutip sampah dan membersihkan tempat duduk selepas perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan baru-baru ini.

Umum mengetahui masalah sampah yang tidak dibuang di tempatnya sentiasa berlaku terutamanya selepas perlawanan bola sepak di stadium.

Baca Juga:

Oleh itu, segelintir penyokong Selangor membuat inisiatif dimana mereka menggesa agar penyokong lain mengutip sampah dan membersihkan tempat duduk sebelum perlawanan menentang Negeri Sembilan dan kempen itu mendapat sambutan hangat.

Tinjauan di laman media sosial menunjukkan kempen ini mendapat pujian dari pelbagai pihak dan menggesa agar peminat pasukan lain agar melakukan perkara sama bagi memastikan kebersihan persekitaran stadium terjaga sekaligus memberi didikan kepada peminat muda yang hadir ke stadium.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), skuad kendalian Nidzam Jamil berjaya meraih kemenangan kedua dimana mereka menewaskan Negeri Sembilan dengan keputusan 4-0.

Yohandry Orozco menjaringkan dua gol manakala Ronie Fernandez dan Reziq Banihani masing-masing menyumbang satu gol bagi memberikan Selangor tiga mata di laman sendiri.

Sebelumnya, satu lagi jaringan Orozco dibatalkan selepas pengadil perlawanan memeriksa VAR namun keputusan itu mendapat kritikan dimana kedudukan Fazly Mazlan yang membuat hantaran kepada Orozco jelas berada di kedudukan on side.

Saingan liga akan berhenti seketika bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan yang akan menghadapi saingan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Chinese Taipei pada 6 dan 11 Jun ini.