Sebuah berita yang menggebirakan buat negara serta para pencarum di mana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada hari ini menugmumkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2023.

Sebagai rekod, pada tahun lalu bagi tempoh yang sama, KWSP sekadar merekodkan keuntungan sebanyak RM23.75 bilion. Tahun ini KWSP berjaya melonjakkan jumlah pelaburan lebih 9.44 bilion atau mencecah hampir 40 peratus peningkatan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata prestasi pasaran ekuiti global pada separuh pertama 2023 adalah positif, diterajui oleh pasaran maju, khususnya di Amerika Syarikat (AS) yang terus menunjukkan daya tahan walaupun kadar faedah meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Sumber: Malaysia Post

Beliau berkata, ketangkasan dan kebolehsuaian KWSP dalam strategi pelaburannya membuka ruang kepada pengurus pelaburan untuk memanfaatkan peningkatan pasaran, sekali gus menyumbang kepada pulangan yang lebih tinggi daripada ekuiti dalam tempoh itu.

Katanya, ia berbeza dengan prestasi pasaran ekuiti yang dilihat pada separuh pertama 2022, yang menyaksikan beberapa indeks mengalami kemerosotan yang ketara, dengan kebanyakan pasaran termasuk AS mencatatkan prestasi separuh pertama terburuk mereka dalam beberapa dekad.

“Bagi Malaysia, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 telah melangkaui jangkaan, didorong khususnya oleh permintaan domestik yang kukuh dan peningkatan dalam pasaran pekerjaan.

“Pertumbuhan yang berdaya tahan telah meredakan keadaan kewangan yang ketat, seterusnya memberikan ruang kepada pasaran modal domestik,” katanya dalam satu kenyataan.

Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan RM2.72 bilion, manakala pendapatan daripada instrumen pasaran wang menjana RM0.88 bilion, sejajar dengan jangkaan kelas pulangan itu.

Pelaburan luar negara KWSP menjana RM11.07 bilion atau 61 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan yang direkodkan.

Sementara itu, pelaburan domestik KWSP, yang merangkumi 61.4 peratus daripada jumlah aset, telah meningkat sebanyak RM57 bilion berbanding setahun lalu.

KWSP kekal komited untuk menyokong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, dengan terus memperuntukkan lebih 80 peratus daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik.

Pada suku kedua 2023, sebanyak RM16.27 bilion daripada RM18.03 bilion pendapatan pelaburan kasar dijana untuk Simpanan Konvensional, manakala RM1.76 bilion Simpanan Syariah.

Simpanan Syariah memperoleh pendapatannya daripada bahagian portfolio Syariah manakala pendapatan Simpanan Konvensional dijana oleh kedua-dua portfolio Syariah dan konvensional.

Pada separuh pertama 2023, jumlah keahlian KWSP terus meningkat kepada 15.90 juta, dengan ahli aktif pada paras tertinggi sebanyak 8.47 juta, yang kini mewakili 50.2 peratus daripada 16.86 juta tenaga kerja Malaysia.