KWSP merekodkan lonjakan pendapatan pelaburan sebanyak 11% kepada RM63.99 bilion untuk tempoh sembilan bulan pertama 2025, mengatasi catatan RM57.57 bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pendapatan pelaburan KWSP bagi suku ketiga (Q3) berakhir 30 September 2025 meningkat 27 peratus kepada RM25.07 bilion, berbanding RM19.67 bilion yang direkodkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Zulqarnain Onn, pertumbuhan kukuh ini (termasuk peningkatan 11% dalam pendapatan pelaburan agregat dan 12% dalam aset di bawah pengurusan) disumbangkan oleh alokasi aset strategik KWSP lapor Berita Harian.
Alokasi ini dikatakan berjaya membolehkan dana tersebut meraih pulangan daripada pemulihan pasaran ekuiti global selepas peristiwa ‘Liberation Day’.
“Kami yakin terhadap kekuatan ekonomi Malaysia, yang merangkumi 61 peratus portfolio KWSP, di samping melaksanakan strategi pelaburan global yang menyumbang 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan pada suku ini.
“Walaupun prestasi sembilan bulan pertama adalah memberangsangkan, kami kekal berwaspada memasuki suku keempat.
“Pertumbuhan dalam pasaran ekuiti global telah meningkatkan penilaian, manakala petunjuk ekonomi global yang tidak sekata boleh memperlahankan kadar penurunan kadar faedah.
“KWSP menguruskan risiko-risiko ini secara aktif dengan mempercepatkan pengambilan keuntungan pada kadar yang mungkin sukar dilaksanakan pada suku keempat,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dalam suku ketiga 2025, pendapatan pelaburan KWSP melonjak kepada RM25.07 bilion, disumbangkan sebahagian besarnya oleh Ekuiti yang menjana RM16.95 bilion, atau 68 peratus daripada jumlah pendapatan, hasil daripada kejayaan pengurus dana memanfaatkan peluang pasaran ekuiti global.
Walaupun terdapat sedikit penurunan berbanding suku ketiga 2024, prestasi ekuiti ini menunjukkan pemulihan berbanding suku tahun awal 2025.
Selain itu, Instrumen Pendapatan Tetap kekal penting sebagai pemelihara modal dengan sumbangan RM6.75 bilion (27%), manakala Hartanah dan Infrastruktur serta instrumen pasaran wang menyumbang baki pulangan.
Secara keseluruhan, pelaburan antarabangsa menjana RM13.33 bilion (53%) daripada pendapatan suku ini, sekali gus menyokong jumlah aset pelaburan KWSP yang kini mencecah RM1.37 trilion.
Pendapatan Q3 2025 dibahagikan kepada RM20.48 bilion untuk Simpanan Konvensional dan RM4.59 bilion untuk Simpanan Shariah, menyusuli pengumuman dividen 6.30% untuk kedua-dua simpanan pada tahun 2024.