Pada 12 Disember 2024, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA).

Inisiatif ini bertujuan membantu rakyat Malaysia merancang kewangan harian dan simpanan persaraan dengan lebih berkesan.

Berikut adalah penerangan mudah mengenai dua panduan ini yang dijangka memberi manfaat besar kepada pengguna.

Apa Itu Belanjawanku?

Panduan Belanjawanku ialah panduan perbelanjaan minimum bulanan yang direka untuk pelbagai jenis isi rumah di Malaysia –  bujang, pasangan berkahwin, dan warga emas.

Dengan data berdasarkan corak perbelanjaan sebenar dari 12 bandar utama, ia memberi panduan realistik dan praktikal untuk membantu rakyat Malaysia:

1. Merekod perbelanjaan bulanan.
2. Menguruskan komitmen kewangan.
3. Merancang dana kecemasan untuk situasi tidak dijangka.

Bagaimana Belanjawanku Membantu Perancangan Kewangan?

Panduan ini pecahkan perbelanjaan kepada kategori seperti perumahan, makanan, dan pengangkutan bagi membolehkan pengguna mengenal pasti keperluan utama dan di mana mahu berjimat.

Dengan membandingkan perbelanjaan sebenar dengan cadangan panduan ini, pengguna dapat:

1. Memahami perbelanjaan berlebihan.
2. Merangka bajet lebih efektif.
3. Membina tabiat kewangan bijak untuk menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.

Bagaimana Kos Dianggarkan?

Perumahan: Bagi individu bujang, anggaran adalah untuk sewa bilik lengkap. Untuk pasangan atau keluarga, anggaran berdasarkan sewa rumah atau ansuran pinjaman, bergantung pada mana lebih rendah.

Pengangkutan: Termasuk bayaran pinjaman kenderaan, petrol, tol, dan parkir. Kos tahunan seperti cukai jalan dan insurans dibahagi kepada 12 bulan.

Utiliti: Merangkumi bil air, elektrik, internet, dan pakej TV seperti Astro.

Perbelanjaan Pilihan: Termasuk sokongan kepada ibu bapa, percutian, sukan, hiburan, dan insurans keluarga.

Untuk maklumat lanjut, Panduan Belanjawanku boleh didapati di laman web KWSP atau Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial, Universiti Malaya.

Apa Itu RIA?

RIA mempunyai tiga peringkat yang berfungsi sebagai panduan tentang jumlah simpanan yang diperlukan untuk persaraan yang selesa.

Ia akan berkuat kuasa pada Januari 2026 dan dikemas kini setiap tahun.

Ringkasnya, RIA menyediakan cara baharu tentang jumlah simpanan yang sepatutnya — dilabelkan sebagai Asas, Mencukupi dan Dipertingkat.

Sasaran ini menggantikan matlamat lama simpanan RM240,000 pada umur 55 tahun, yang kini tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan minimum bulanan RM2,690 bagi seorang warga emas di Lembah Klang, seperti dalam Panduan Belanjawanku.

Bagaimana RIA Membentuk Masa Depan Anda?

Asas: Keperluan harian dipenuhi.
Mencukupi: Pengguna boleh melabur 30% lebihan dalam dana yang diluluskan.
Dipertingkat: Peluang pengurusan kekayaan lebih luas.

Kenapa Penting?

Dengan kos sara hidup dan jangka hayat yang semakin meningkat, kedua-dua inisiatif ini menyediakan alat penting untuk membantu rakyat Malaysia mengurus kewangan dengan lebih baik.

Ia bukan sahaja memastikan keperluan harian dipenuhi, tetapi juga memberi jaminan pendapatan mampan semasa persaraan.