Kebanjiran warga China beli rumah di Malaysia mencetuskan pelbagai reaksi, dengan kesan positif dan negatif yang dirasai oleh rakyat tempatan, terutamanya dalam sektor hartanah dan ekonomi negara.

Dari sudut positif, peningkatan pembelian warga China, terutamanya dalam segmen hartanah mewah di kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, dan Pulau Pinang, telah merancakkan pasaran tempatan.

Permintaan tinggi ini bukan sahaja memacu pembangunan infrastruktur dan projek berskala besar, malah membuka peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan serta hartanah.

Namun begitu, menurut pakar hartanah Profesor Madya Dr Muhammad Najib Razali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), ada kesan negatif yang dirasai rakyat tempatan, katanya kepada Harian Metro.

Antara kebimbangan utama ialah peningkatan harga rumah yang menyukarkan rakyat Malaysia, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, untuk memiliki rumah.

Ketidakseimbangan pasaran ini juga membawa kepada lebihan bekalan hartanah premium, sedangkan rumah mampu milik masih sukar dibeli.

Di samping itu, pembelian secara besar-besaran oleh warga asing boleh menimbulkan kebimbangan terhadap kedaulatan tanah dan pengaruh asing dalam hartanah tempatan, yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

Warga China beli rumah ini turut dikaitkan dengan spekulasi bahawa hartanah itu nanti akan dilakukan semata-mata untuk pelaburan tanpa niat untuk menetap.

Walaupun pelaburan asing ini membantu merangsang pembangunan, impak kepada rakyat tempatan, terutamanya peningkatan kos hidup dan cabaran dalam pemilikan rumah, menjadi isu yang perlu ditangani.

Kerajaan disarankan untuk mewujudkan polisi khas bagi mengawal pemilikan hartanah oleh warga asing demi menjaga kepentingan rakyat Malaysia.

Kehadiran warga China dalam pasaran hartanah Malaysia membawa peluang besar dari sudut ekonomi, tetapi jika tidak dikawal dengan baik, ia boleh menjadi cabaran besar kepada rakyat tempatan yang masih bergelut untuk memiliki kediaman sendiri.