Aktivis masyarakat dan pengasas Brotherhood, Lando Zawawi, mencuri tumpuan apabila mengumumkan penyertaannya sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Kehadirannya untuk menyertai pilihan raya pada ketika itu memberikan sinar harapan, lebih-lebih buat anak-anak muda yang mahukan muka baharu sebagai wakil rakyat dalam arena politik negara.

Baca Juga:

Dalam satu temu bual podcast bersama UKM Pakarunding, beliau membuka mulut berkongsi sebab beliau menyertai pilihan raya yang lalu.

Menurut Lando, sebelum ini beliau mempunyai seorang ahli Brotherhood yang turut serta dalam kerja-kerja membaiki jalan raya.

Budak lelaki itu dikenali sebagai Botak. Dia sentiasa mengikut Lando menurap jalan tidak kira di mana lokasinya.

Apa yang membuatkan Lando terkejut dengan Botak adalah dia menurap jalan menggunakan tangan sendiri, tanpa menggunakan apa-apa peralatan.

'Allah Bagi Peluang Arwah Botak' – Lando Zawawi Menangis Kongsi Sebab Bertanding Di Tanjong Karang
Sumber Gambar: YouTube UKM Pararunding

“Dia ini turap pakai tangan. Saya cakap dia ini gila ke? Tar saya ini kuat. Apabila ditanya kenapa pakai tangan, kenapa tidak pakai cangkul, dia menjawab – ‘dia nak ajar tangan dia’.

“Dia nak ajar tangan dia berbudi, sebab bila meninggal nanti, dia kata mulut kita yang pandai bercakap ini, yang pandai baca Al-Quran, yang pandai cakap benda baik ini akan dikunci.

“Dia (Allah S.W.T) anggota (tubuh badan) kita, apa anggota kita buat. Jadi dia (Botak) kata nak ajar tangan dia,” kata Lando.

Lando Zawawi terima berita sedih

Tidak lama kemudian, Lando mendapat perkhabaran sedih di mana Botak meninggal dunia kerana merempuh sebuah lori membuat u-turn haram di Klang.

Dalam gambar-gambar diterimanya, Lando terkejut melihat tangan arwah membuat isyarat tahiyat akhir.

“Pada waktu itu, saat-saat Allah boleh bagi peluang. Saya ini, saya tak tahu lagi. Tapi orang macam dia (Botak), Allah boleh bagi peluang.

“Mungkin dia sempat mengucap dua kalimah syahadah. Muka dia bersih waktu dia pergi,” kongsi Lando sambil menangis menahan sebak.

'Allah Bagi Peluang Arwah Botak' – Lando Zawawi Menangis Kongsi Sebab Bertanding Di Tanjong Karang
Sumber Gambar: YouTube UKM Pararunding

Lando Zawawi menyatakan beliau sudah banyak menghadiri pengebumian seniman dan seniwati, namun ini kali pertama dalam hidupnya melihat begitu ramai orang menghadiri ke pengebumian arwah Botak.

Katanya, jumlah orang yang datang ke pengebumian botak, seorang rider delivery, lebih ramai pengebumian artis terkenal.

“Ramai orang tanya siapa dia? Dia budak rider sahaja. Bukan siapa-siapa.

“Saya panggil dia pun Arwah Botak saja. Kemudian seminggu selepas itu saya pergi kubur dia, ini pengalaman saya sendirilah yang saya sendiri saya dapat bau benda wangi.

“Bau wangi itu ‘mengikut’ sejauh beberapa kilometer, baru bau itu hilang,” kongsi Lando Zawawi.