Selalu kita dengar orang berkata, “Biar budak tu makan banyak, nampak comel bila tembam sikit.” Memang sebagai ibu bapa, kita suka melihat anak-anak berselera. Namun, realitinya kini sangat membimbangkan dan jauh dari kata ‘comel’.

Bersempena dengan Hari Obesiti Sedunia hari ini, laporan terbaharu World Obesity Atlas 2026 telah mendedahkan satu fakta yang mengejutkan: lebih 2.85 juta kanak-kanak Malaysia merangkumi 5 hingga 19 tahun direkodkan mempunyai berat badan berlebihan atau menghidap obesiti pada tahun 2025.

Ini bukan sekadar isu saiz badan, tetapi ia adalah satu krisis kesihatan yang memerlukan perhatian serius kita semua.

Bom Jangka Kesihatan Masa Depan

Lebih 500,000 Kanak-Kanak Malaysia Diramalkan Alami Penyakit Serius Menjelang Tahun 2040?
Sumber Gambar: imagefx

Perkara paling menakutkan tentang obesiti kanak-kanak bukanlah saiz baju mereka yang semakin membesar, tetapi risiko penyakit kronik yang sedang menanti mereka pada usia yang muda.

Laporan tersebut meramalkan jika tiada tindakan drastik diambil, menjelang tahun 2040, ratusan ribu anak-anak ini bakal merana dengan jangkaan 305,000 kanak-kanak dijangka menunjukkan tanda-tanda awal penyakit darah tinggi (hipertensi) dan 382,000 kanak-kanak pula berisiko menunjukkan simptom awal penyakit kardiovaskular (penyakit berkaitan jantung dan saluran darah).

Bayangkan anak-anak yang belum pun memulakan alam pekerjaan sudah terpaksa bergantung pada ubat-ubatan untuk penyakit orang dewasa.

Asia Tenggara Catat Peningkatan Paling Laju

Lebih 500,000 Kanak-Kanak Malaysia Diramalkan Alami Penyakit Serius Menjelang Tahun 2040?
Photo by Kyle Glenn on Unsplash

Isu ini bukan sahaja melanda Malaysia. Laporan Atlas menunjukkan seluruh rantau Asia Tenggara sedang berdepan peningkatan obesiti kanak-kanak yang paling pantas di dunia.

Menjelang 2040, dijangkakan 40 juta kanak-kanak di rantau ini akan menghidap obesiti. 101 juta kanak-kanak akan mencatatkan Indeks Jisim Badan (BMI) yang tinggi.

Paling menyedihkan, sasaran global untuk menghentikan peningkatan obesiti kanak-kanak menjelang 2025 kini telah gagal dicapai oleh kebanyakan negara, walaupun tarikh sasaran itu telah dilanjutkan ke tahun 2030.

Apa Yang Silap Dan Apa Perlu Kita Buat?

Ketua Eksekutif Persekutuan Obesiti Sedunia, Johanna Ralston, memberikan teguran yang agak pedas tetapi benar. Menurut beliau, peningkatan jumlah ini membuktikan bahawa dunia telah gagal mengambil serius penyakit yang kini menjejaskan 1 daripada 5 kanak-kanak.

Banyak negara masih jauh ketinggalan dari segi pengurusan dan rawatan untuk kanak-kanak yang telah pun obes, pemantauan dan saringan kesihatan di sekolah dan dasar pencegahan makanan tidak sihat.

Kerajaan perlu bertindak segera untuk memperketatkan dasar kesihatan, manakala kita sebagai masyarakat dan ibu bapa perlu memainkan peranan di rumah.

Mengurangkan pengambilan gula, meningkatkan aktiviti fizikal, dan mendidik anak-anak tentang pemakanan sihat bukan lagi satu pilihan, tetapi satu kewajipan.

 

Sumber