Lebih daripada 700 barangan peribadi dan beberapa kenderaan mewah bernilai RM1 juta milik usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, telah dilelong hari ini.

Lelongan tersebut diadakan di kediaman beliau di Persiaran Bukit Meru di sini antara jam 10.30 pagi hingga 1.40 tengah hari, petik New Straits Times.

Baca Juga:

Antara aset yang dilelong termasuk candelier, set sofa, meja makan, piano, langsir, pendingin hawa, peralatan dapur, permaidani, pasu bunga, set karaoke, teleskop, konsol PlayStation 5, gitar elektrik serta pelbagai barangan rumah lain.

Kenderaan yang dilelong pula termasuk Toyota Vellfire, Toyota Grand Hiace dan BMW X7.

Pelelong, S. Punithawathi, memaklumkan bahawa selepas seorang pembida menarik diri dan tawarannya dianggap tidak sesuai, hanya tinggal seorang pembida berdaftar.

“Oleh itu, semua barangan yang disenaraikan dalam perisytiharan jualan telah dijual pada harga RM1 juta.

“Kesemua barangan tersebut berjaya dijual kepada Norzamri Abdullah,” katanya.