Lebih daripada 80% pembeli rumah Generasi Z (Gen Z) di Malaysia memilih kondominium dan apartmen.

Sementera generasi lebih tua yang masih mengutamakan rumah bertanah, lapor kajian terbaru oleh firma teknologi hartanah Juwai IQI.

Baca Juga:

Kajian itu berdasarkan analisis lebih daripada 127,000 transaksi, menunjukkan perbezaan jelas antara generasi dalam pilihan kediaman yang kini sedang membentuk semula pasaran hartanah Malaysia, petik Business Today.

Gen Z membeli kediaman di langit (bertingkat tinggi), manakala Milenial dan Gen X masih berpijak di tanah,” kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari.

Gen Z Memilih Kediaman Vertikal

Dalam kalangan Gen Z (berusia 15–29 tahun), sebanyak 84% pembelian hartanah adalah untuk unit kediaman bertingkat, berbanding hanya 16% bagi rumah bertanah.

Sementara itu, Milenial (30–44 tahun) dan Gen X (45–59 tahun) masih lebih cenderung membeli rumah bertanah, dengan kira-kira satu daripada empat transaksi melibatkan rumah teres, berkembar atau banglo.

Trend ini juga berubah di hujung spektrum umur yang lain. Lebih 90% pembeli berusia lebih 80 tahun (“Builders”) memilih unit kediaman vertikal, mencerminkan kecenderungan terhadap rumah yang lebih kecil dan mudah diurus.

Golongan Boomer (60–80 tahun) pula semakin ramai beralih kepada kondominium dan apartmen demi kemudahan serta kos penyelenggaraan yang lebih rendah.

Lebih 80% Gen Z Pilih Beli Rumah Kondominium, Sebab Apa?
Sumber Gambar: PR1MA

Ansari menjelaskan bahawa gaya hidup dan kemampuan menjadi faktor utama pilihan tersebut.

“Unit kediaman selalunya lebih dekat dengan tempat kerja, pengangkutan dan kemudahan. Ia lebih mampu milik, mudah diselenggara, serta dilengkapi fasiliti seperti gimnasium, kolam renang dan kawalan keselamatan yang sangat dihargai pembeli muda,” jelas beliau.

Walaupun terdapat kecenderungan generasi muda ke arah kediaman vertikal, rumah bertanah masih mengatasi jumlah unit kediaman tinggi di seluruh negara.

Lebih 80% Gen Z Pilih Beli Rumah Kondominium, Sebab Apa?
Sumber Gambar: Lucas Map

Sehingga tahun 2024, terdapat 64.7 juta rumah di Malaysia, dengan 69% merupakan rumah bertanah dan hanya 31% unit kediaman tinggi, menurut data NAPIC.

Rumah bertanah juga menyumbang 79% daripada keseluruhan transaksi tahun lalu.

“Rumah bertanah selalunya menjadi pembelian kedua atau ketiga bagi ramai keluarga. Ia masih sangat bernilai bagi isi rumah yang mahukan lebih privasi dan ruang seiring pertumbuhan keluarga mereka,” kata Ansari.

Lebih 80% Gen Z Pilih Beli Rumah Kondominium, Sebab Apa?
Sumber Gambar: RETalk Asia

Juwai IQI turut menekankan bahawa jurang antara peningkatan permintaan untuk unit kediaman dan bekalan yang terhad membuka peluang untuk pemaju.

Firma itu berkata mereka bekerjasama dengan pemain industri untuk mereka bentuk lebih banyak projek kediaman tinggi yang memenuhi keperluan individu bujang, pasangan dan keluarga muda, sambil terus membangunkan rumah bertanah untuk keluarga besar serta pembeli berpendapatan tinggi.

“Setiap generasi ada kecenderungan masing-masing. Dengan mengenal pasti dan menyesuaikan diri dengan keperluan ini, Malaysia dapat memastikan pasaran perumahannya kekal inklusif, mampan, dan sepadan dengan keperluan rakyat yang sentiasa berubah,” tambah Ansari.