Seminggu dua sebelum raya, banyak syarikat-syarikat tempatan mula berkongsi iklan raya untuk tontonan orang ramai.

Banyak yang memperlihatkan hasil karya menyentuh emosi penonton. Namun ada yang mahu kelainan, hadir dengan iklan komedi namun sarat dengan mesej positif di sebaliknya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sementara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pula membawakan unsur comeback apabila menampilkan Jalil Hamid dalam iklan raya mereka.

Pelakon veteran berusia 66 itu, terharu apabila mendapat tawaran berlakon iklan komersial baru-baru ini selepas sudah dua tahun lebih tidak memperoleh tawaran lakonan.

Memetik Harian Metro, beliau sangat mensyukuri rezeki itu kerana dirinya masih diingati meskipun sudah agak lama tidak muncul di televisyen.

“Alhamdulillah saya sudah beransur pulih dan sihat. Baru-baru ini, saya dapat tawaran kerja buat iklan. Ramai yang rasa kehilangan nak tengok saya di TV kot.

“Tuhan saja yang tahu perasaan saya. Itu rezeki daripadaNya, Alhamdulillah. Saya rasa tak terkata, orang masih ingat saya,” katanya yang membintangi iklan raya PKNS tahun ini.

Jalil berkata sepanjang tempoh dua tahun tidak bekerja, dia ada juga dihubungi untuk tawaran berlakon, namun tiada rezekinya apabila tidak dipanggil.

“Dua tahun lebih tak ada tawaran (berlakon). Barangkali orang ingat saya sudah tidak boleh buat. Ada juga yang hubungi kadang-kadang tapi selepas itu senyap. Agaknya sebab ingat saya sakit, tak boleh nak ambil tawaran.

“Artis ini bergantung pada kerja, ada kerja, ada gaji. Keperluan bolehlah ditanggung. Tapi kalau tak ada, pandai-pandailah nak hidup. Alhamdulillah saya boleh buat, tak ada masalah. Saya boleh jalankan kerja lagi,” katanya.

Tambah beliau, dengan kesihatan semakin baik sekarang, Jalil Hamid sentiasa terbuka menerima tawaran dan berharap ada rezekinya dipanggil produksi lakonan.

Conteng merupakan sebuah iklan raya berdurasi 14:18 minit yang memaparkan kisah seorang anak sulung mempunyai disleksia meninggalkan keluarga selepas dimarahi dan dipandang rendah oleh bapanya sendiri — iklan tersebut diadaptasi daripada kisah benar.