Pemain berdarah Malaysia, Jaami Qureshi kembali beraksi selepas berehat selama lebih setahun ekoran mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada 2022.

Menurut perkongsian Future Talent di laman Instagram, Jaami menyertai Cobham FC dalam saingan liga bawahan England dan beliau sudah mencipta impak positif bersama kelab itu.

Baca Juga:

“Jaami Qureshi kembali daripada kecederaan ACL dan tidak dapat bermain selama 1 satu setengah tahun. Pada musim panas ini dia telah menandatangani kontrak bersama 2 kelab yang mana mendapat kebenaran dari FA. Dia menandatangani kontrak bersama Cobham FC dan Juga Walton Hersham FC.

“Ini adalah keputusan yang sangat baik untuk dia bermain untuk 2 kelab kerana Jaami akan mendapat lebih banyak minit dan juga akan mempunyai peluang untuk memperbaiki prestasinya sebelum kembali ke liga yang lebih tinggi.

“Jaami menampilkan prestasi yang baik dalam penampilan pertamanya bersama Cobham dengan masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan pada penampilan sulungnya. Beliau kemudian masuk dalam permainan kedua sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol lagi.

“Baru-baru ini Jaami berada dalam kesebelasan utama dalam penampilan ketiga dan beliau menampilkan prestasi yang baik dengan bermain menentang pemain yang jauh lebih senior. Persembahan beliau mendapat pujian dari peminat yang hadir.

Sebelum ini, timbul isu antara pihak Jaami dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika beredar khabar yang mengatakan beliau bakal beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Bapanya iaitu Perviz Qureshi menegaskan FAM tidak pernah menghantar jemputan kepada Jaami bagi beraksi bersama pasukan negara.

“Tiada jemputan rasmi dari FAM, hanya komen di khalayak umum mengenai meletakkan Jaami dalam pemerhatian mereka. Tiba masa untuk berubah,” kata Perviz.

Sebelum ini, Perviz menegaskan skuad kebangsaan Iraq ada menghubungi beliau mengenai kemungkinan Jaami beraksi bersama pasukan itu di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.