Jose Luis Chilavert, satu nama yang tidak perlu untuk diperkenalkan lagi dalam kancah bola sepak dunia susulan aksi tangkasnya.

Tidak kurang juga dengan sikap panas barannya apabila terlibat dengan pergeseran bersama mendiang Diego Maradona, Roberto Carlos dan Faustino Asprilla.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Ingatan para peminat terhadap perkara-perkara negatif tersebut bagaimanapun pasti akan lenyap sekiranya kita mengulas tentang kehebatan bekas penjaga gol skuad kebangsaan Paraguay itu dalam menyempurnakan peluang menerusi sepakan percuma dan penalti.

Permulaan karier seorang legenda bernama Jose Luis Chilavert

Lahir pada 27 Julai 1965, Chilavert dibesarkan dalam keadaan serba miskin di bandar Luque, Gran Asuncion, Paraguay dimana ketika berusia lima tahun, beliau membantu ibu-bapanya menjual susu lembu di pasar.

Kariernya di pentas bola sepak profesional bermula pada tahun 1980 apabila Chilavert menyertai kelab tempatan, Sportivo Luqueno dan selepas dua tahun, beliau telah menyertai Guarani yang menyaksikan langkah itu telah membuka peluang luas buatnya untuk mara dengan lebih jauh.

Ia jelas terbukti setelah hanya selepas semusim beraksi bersama Guarani, khidmatnya telah ditagih kelab Argentina, San Lorenzo. Meskipun musim pertama di sana tidaklah begitu meyakinkan, Chilavert kemudiannya berjaya merampas kedudukan selaku penjaga gol utama pasukan bermula musim kedua.

Peluang tersebut digunakan sepenuhnya untuk membuktikan kehebatannya sehingga kelab La Liga, Real Zaragoza membawanya ke Sepanyol bagi menikmati saingan bola sepak Eropah yang lebih hebat cabarannya pada musim 1988/89.

Beri impak hebat sekembalinya ke Argentina

Selepas tiga musim yang boleh dikatakan baik di Zaragoza, Chilavert memilih untuk kembali semula ke saingan Liga Argentina untuk menyertai Velez Sarsfield.

Kehadiran yang nyata memberikan hasil lumayan kerana Chilavert telah memainkan peranan penting dalam memberikan impak positif sekali gus membantu el Fortin menjuarai Primera Divison sebanyak empat kali serta menjulang Copa Libertadores dan International Cup 1994.

Lebih menarik untuk diperkatakan, Chilavert berjaya meledakkan 12 jaringan buat Velez Sarsfield pada musim 1997/98 yang menyaksikan 10 daripada gol tersebut hadir dalam saingan liga.

Setelah 10 tahun menghambakan diri bersama Velez, Chilavert kembali semula ke Eropah untuk menyarung jersi RC Strasbourg selama dua musim dan kemudiannya berhijrah ke Uruguay untuk bersama Penarol.

Semusim selepas itu beliau kembali ke Velez Sarsfield pada tahun 2004 tetapi beliau tidak beraksi walau satu perlawanan dan akhirnya mengumumkan persaraan.

Sepakan percuma dan penalti yang menjadi ‘makanannya’

Sebagai rekod, Chilavert merupakan penjaring kedua terbanyak dalam kalangan penjaga gol apabila beliau berjaya menyumbat 67 gol dimana 59 daripadanya terhasil di peringkat kelab.

Beliau juga menjadi satu-satunya penjaga gol dalam sejarah bola sepak dunia yang berjaya meledakkan hatrik setelah menyempurnakan tiga sepakan penalti ketika membantu Velez Sarsfield mencatatkan kemenangan selesa 6-1 ke atas Ferro Carril Oeste pada 28 November 1999.

Ternyata bisa kaki kirinya sentiasa menjadi igauan ngeri penjaga gol pasukan lawan setiap kali kelab diwakilinya mendapat sepakan percuma dan penalti.

Rekod penjaring terbanyak masih lagi dipegang bekas penjaga gol Sao Paulo dan Brazil, Rogerio Ceni dengan 131 gol.

Katakanlah apa sahaja perkara buruk tentang bekas penjaga gol yang kini berusia 56 tahun itu, tetapi ia tidak langsung akan memberikan kesan di minda para penyokong bola sepak untuk mengagumi kehebatan Chilavert walaupun kariernya hanya cemerlang di Amerika Selatan.