Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menghamburkan pujian kepada pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang meraih pingat gangsa dalam Sukan Olimpik 2024, malam tadi.
Aaron dan Wooi Yik mengulangi pencapaian dilakarkan ketika di Tokyo pada 2021 selepas menundukkan wakil Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam aksi yang cukup mendebarkan.

Baca Juga:
- Sukan Olimpik 2024: Aksi Penuh Debar, Aaron-Wooi Yik Raih Pingat Gangsa
- Sukan Olimpik 2024: Impian Final Aaron-Wooi Yik Lebur Di Tangan Beregu Nombor Satu Dunia
- Sukan Olimpik 2024: Aaron-Wooi Yik Atasi Wakil India Untuk Ke Separuh Akhir
Kemenangan yang sekali gus membuka akaun pungutan pingat buat kontinjen negara di temasya paling berprestij dunia itu.
Chong Wei yang begitu aktif di media sosial turut tidak ketinggalan dalam memberikan penghargaan atas kejayaan pasangan beregu lelaki tersebut.
“Antara perlawanan yang paling mendebarkan pernah saya saksikan. Tahniah Aaron-Wooi Yik. Gila lah ‘game’ ni.”
“Perlawanan yang sepatutnya mereka kalah tetapi gandingan lelaki sejati Melaka-Kuala Lumpur ini selangkah selangkah mengembalikan harapan untuk lencana di dada.”
“Terima kasih Aaron-Wooi Yik, andalah hero negara sekali lagi. Malaysia sekarang secara rasmi berada di tangga pingat Sukan Olimpik.”
“Tahniah Aaron-Wooi Yik. Saya tidak mahu anda menjadi macam saya. Tiga medal dengan warna yang sama. Saya doakan anda mendapat warna (pingat) yang lain,” ujar Datuk Lee Chong Wei di laman sosial peribadi miliknya.
Selepas tunduk pada set pertama 16-21, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di ambang kekalahan selepas ketinggalan 16-20. Tetapi kebangkitan hebat dijelmakan mereka untuk menang 22-20.
Set ketiga pula menyaksikan Aaron-Wooi Yik mendapat kelebihan 16-12 tetapi pasangan Denmark itu bangkit dengan penuh garang hingga membuatkan keadaan menjadi begitu genting untuk kedudukan 19-19.
Kesilapan mudah dilakukan Astrup-Rasmussen akhirnya menghadiahkan kejayaan manis buat pasangan negara itu.