Kempen skuad negara dalam kejohanan badminton All England 2024 diteruskan malam ini apabila enam wakil bakal membawa cabaran Malaysia di pusingan 16.

Seperti dilaporkan sebelum ini, Lee Zii Jia mempamerkan aksi cemerlang untuk mengetuai cabaran skuad negara bersama-sama Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M. Thinaah serta tiga wakil acara beregu campuran iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Melihatkan kepada jadual perlawanan, cabaran getir bakal menanti terutamanya buat Pearly dan Thinaah yang akan berhadapan dengan pasangan beregu wanita ranking nombor satu dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.

Manakala, Goh Soon Huat-Shevon pula akan menghadapi cabaran juara Terbuka Perancis 2024, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Satu keadaan yang membuatkan para pencinta badminton tanah air tidak tenang menyaksikan perlawanan pada malam ini.

Berikut merupakan senarai lengkap jadual perlawanan melibatkan pemain negara di pusingan 16 All England 2024:

1) Lee Zii Jia (10) lawan Loh Kean Yew (11)

Rekod pertemuan melibatkan kedua-dua pemain menyebelahi Lee Zii Jia yang menang lima daripada tujuh pertembungan sesama sendiri.

Zii Jia turut berjaya mencatatkan kemenangan berturut-turut pada tiga perlawanan terakhir menentang pemain kelahiran Pulau Pinang yang mewakili Singapura tersebut. Kali terakhir mereka bertemu adalah pada Terbuka Denmark 2022.

2) Aaron Chia-Soh Wooi Yik (5) lawan Chang Ko-Chi-Po Li-Wei (39)

Melihatkan kepada ranking terkini, Aaron dan Wooi Yik memiliki kelebihan dan mereka menang pada aksi tunggal bertemu lawan dari Chinese Taipei tersebut ketika suku akhir Malaysia Masters 2022 dengan keputusan 23-21, 21-16.

3) Pearly Tan-M. Thinaah (15) lawan Chen Qing Chen-Jia Yi Fan (1)

Berdepan lawan yang berada di ranking nombor satu dunia serta masih segar dengan kejayaan muncul juara Terbuka Perancis pada minggu lalu pastinya memberikan kesukaran buat Pearly dan Thinaah.

Rekod pertemuan juga tidak menyebelahi mereka apabila tunduk pada kesemua lima pertemuan menentang jaguh China tersebut.

Namun diharapkan ada kejutan yang dapat dilakarkan pasangan ranking ke-15 dunia ini.

4) Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (9) lawan Robin Tabeling-Selena Piek (15)

Tang Jie dan Ee Wei mencipta sensasi di pusingan pertama apabila berupaya mengejutkan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Daripada empat pertemuan bertemu lawan dari Belanda ini, Tang Jie-Ee Wei mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut dimana aksi terakhir mereka adalah ketika Thailand Masters 2024.

5) Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (14) lawan Feng Yan Zhe-Hung Dong Ping (4)

Sama seperti Pearly dan Thinaah, pasangan kekasih ini turut akan beraksi menentang juara Terbuka Perancis dari China.

Meskipun Yan Zhe-Dong Ping dianggap sebagai pilihan tetapi kedua-dua pasangan masih belum pernah bertemu dan peluang nyata terbuka untuk mencari pemenang pada perlawanan ini.

6) Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (25) lawan Tang Chun Man-Tse Ying Suet (8)

Selepas berjaya menundukkan pasangan ranking ke-13 dunia dari Perancis kelmarin, Kian Meng dan Pei Jing sekali lagi berdepan tugas getir.

Lawan mereka dari Hong Kong ini berjaya memenangi lima daripada lapan pertembungan sesama mereka dimana kali terakhir adalah ketika Terbuka Jerman 2024.

*dalam kurungan merupakan ranking dunia terkini setiap pemain.