Gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjadi wakil keenam negara mara ke pusingan 16 (kedua) kejohanan All England 2024 yang sedang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham.
Ia berikutan kejayaan manis mereka menundukkan pasangan ranking keenam dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai menerusi aksi tiga set 21-14, 12-21, 21- dalam masa 57 minit.
Baca Juga:
- All England 2024: Lee Zii Jia Atasi Kodai Naraoka Untuk Ke Pusingan Kedua
- All England 2024: 4 Wakil Negara Lepasi Pusingan Awal, 4 Lagi Beraksi Hari Ini
- Senarai Lengkap Cabaran Pemain Malaysia Di All England 2024
Selepas tewas empat perlawanan berturut-turut bertemu lawan dari Thailand itu, Tang Jie dan Ee Wei jelas tidak mahu mengalami sekali lagi kekalahan.
Mereka yang kini menghuni ranking kesembilan dunia beraksi dengan cukup bertenaga pada set pertama walaupun Dechapol-Sapsiree cuba untuk memberikan saingan dengan kemenangan 21-14.
Tersentak dengan kekalahan set pertama itu, pasangan berpengalaman Thailand itu memperkemaskan aksi untuk meraih kemenangan 21-12 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Meskipun ketinggalan pada awal set ketiga, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menyerap tekanan dengan baik untuk mengesahkan kemenangan 21-15.
Menanti mereka esok ialah pemenang antara MathiasĀ Thyrri-Amalie Magelund (Denmark) dan Robin Tabeling-Selena Piek dari Belanda yang akan beraksi sebentar lagi.
Sebentar lagi dua lagi wakil negara akan turun beraksi dimana Goh Jin Wei akan berhadapan He Bing Jao dari China manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula menentang Akira Koga-Taichi Saito (Jepun).
All England yang merupakan kejohanan badminton tertua di dunia adalah pertandingan berstatus Super 1000 dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF).