Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia mempamerkan aksi kemas untuk melangkah ke pusingan 16 kejohanan All England 2024 yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham sebentar tadi.
Berdepan lawan yang berada di ranking keenam dunia, Kodai Naraoka, Zii Jia dilihat cukup bersedia untuk menghadapi pemain dari Jepun itu.
Baca Juga:
- All England 2024: 4 Wakil Negara Lepasi Pusingan Awal, 4 Lagi Beraksi Hari Ini
- Senarai Lengkap Cabaran Pemain Malaysia Di All England 2024
- Lee Zii Jia Rangkul Kejuaraan All England Buat Kali Pertama
Beliau yang merupakan bekas juara All England kurang melakukan kesilapan mudah seperti kebiasaan dan cukup kental ketika menerima asakan diberikan Naraoka.
Malah, ia membuatkan Naraoka tidak dapat melakukan permainan rali yang seperti kebiasaan dilakukannya untuk menjerat Zii Jia.
Satu keadaan yang membolehkan Lee Zii Jia beraksi dengan cukup tenang untuk menang mudah set pertama dengan keputusan 21-12.
Set kedua juga memperlihatkan penguasaan Zii Jia hingga beliau mendahului 20-13 tetapi Naraoka cuba mempamerkan kebangkitan hebat dengan mengejar sehingga 20-19.
Namun, Zii Jia enggan melihat perlawanan berlanjutan ke set penentuan untuk mengesahkan kemenangan 21-19 dalam aksi keseluruhan berlangsung selama 48 minit.
Ia merupakan kemenangan kedua dilakarkan Zii Jia ke atas Naraoka dalam lima pertemuan melibatkan kedua-dua pemain dimana perseorangan utama negara itu tewas pada dua aksi terakhir di Terbuka India dan Terbuka China.
Menanti beliau di pusingan kedua esok ialah bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew yang berjaya menundukkan Angus Ng Ka Long 21-12, 21-17.
Selepas menjuarai saingan pada All England 2021, Birmingham boleh dianggap kegemaran buat Zii Jia apabila dua kali berturut-turut mara ke separuh akhir.
Tiga lagi cabaran negara akan digalas pasangan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sedang bertemu jaguh Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai manakala Goh Jin We akan beraksi menentang He Bing Jao (China) serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun bertemu wakil Jepun, Akira Koga-Taichi Saito.