Empat wakil negara sudah mengesahkan tempat ke pusingan 16 (kedua) kejohanan All England 2024 selepas berjaya menundukkan lawan masing-masing malam serta awal pagi tadi.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik terlebih dahulu meneruskan kemaraan apabila berjaya menundukkan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani 21-19, 21-17.

Baca Juga:

Menanti mereka esok ialah pasangan Chinese Taipei iaitu Chang Ko-Chi-Po Li Wei dimana Aaron dan Wooi Yik menang pada aksi tunggal bertemu lawan tersebut pada 2022.

Kemudiannya, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mempamerkan kebangkitan untuk menundukkan lawan ranking ke-13 dunia, Thom Qicquel-Delphine Delrue dari Perancis 12-21, 21-19, 21-14.

Dengan kemenangan tersebut, mereka akan berdepan lawan dari Hong Kong yang merupakan pilihan kelapan kejohanan iaitu Tang Chun Man-Tse Ying Suet.

Satu lagi gandingan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie berjaya mengekang asakan hebat diberikan Chang Ko Chi-Lee Chih Chen (Chinese Taipei) dengan kemenangan ‘straight set’ 21-17, 26-24.

Lawan yang bakal ditemui pasangan kekasih itu adalah pemenang antara juara Terbuka Perancis tempoh hari, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping (China) dan Kenneth Zhe Hooi Cho-Gronya Somerville dari Australia yang akan beraksi hari ini.

Pearly Tan-M. Thinaah memastikan empat wakil Malaysia mara ke pusingan kedua pada aksi hari pertama hasil kemenangan mudah ke atas lawan senegara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien 21-10, 21-10.

Mereka akan berhadapan sama ada pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan atau Hsu Ya Ching-Lin Wang Ching yang akan bertemu hari ini.

Manakala, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi gagal mengambil kesempatan berada di mata ‘match point’ apabila terpaksa akur dengan kehebatan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China 21-15, 21-23, 14-21.

Sementara itu pada aksi pusingan pertama bagi hari kedua yang bakal bermula jam 6.00 petang ini, empat lagi wakil negara akan turun beraksi.

Lee Zii Jia akan membuat perhitungan dengan Kodai Naraoka dari Jepun, Goh Jin Wei pula bakal berdepan cabaran hebat He Bing Jao (China).

Gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun akan bertemu wakil Jepun, Akira Koga-Taichi Saito dan pasangan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menanti jaguh Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

All England yang merupakan kejohanan badminton tertua di dunia adalah pertandingan berstatus Super 1000 dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF).