Pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia, memohon perintah injunksi interim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas ayah dan kakaknya.
Ianya bagi menghalang bapa dan kakaknya daripada membuat keputusan tertentu berkaitan kewangan serta pengurusan syarikatnya, LZJ Management.
Permohonan yang difailkan pada 2 Julai 2026 itu dibuat ketika pertikaian undang-undang antara Zii Jia dengan ahli keluarganya masih berlangsung.
Dalam permohonan berkenaan, Zii Jia menamakan bapanya, Lee Chee Hin, kakaknya, Lee Zii Yii, adiknya, Lee Tao serta LZJ Management sebagai responden.
Zii Jia mahu mahkamah menghalang Chee Hin dan Zii Yii, yang merupakan pengarah syarikat, daripada meluluskan sebarang yuran pengarah, elaun, bonus atau manfaat kewangan lain untuk diri mereka sendiri selain gaji bulanan.
Menurut laporan NST, beliau turut memohon supaya keputusan penting syarikat, termasuk pelantikan dan penyingkiran pengarah, pelantikan setiausaha syarikat, pelupusan aset utama, penerbitan saham baharu serta perubahan struktur pemilikan saham, tidak dibuat tanpa kelulusan mahkamah.
Menurut permohonan itu, Zii Jia mendakwa memiliki 90 peratus pegangan dalam LZJ Management, manakala Zii Yii memiliki sembilan peratus dan Lee Tao memegang baki satu peratus.
Selain itu, pemain berkenaan turut memohon perintah mahkamah bagi mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk membincangkan pengurusan serta tadbir urus syarikat.
Dalam afidavit sokongannya, Zii Jia mendakwa percubaan mengadakan EGM pada 22 Disember tahun lalu gagal kerana tidak mencapai korum yang diperlukan.
Beliau mahu mesyuarat itu diadakan dalam tempoh 14 hari selepas perintah mahkamah dikeluarkan atau dalam tempoh lain yang ditetapkan mahkamah. Beliau juga memohon kebenaran untuk mengeluarkan dan menyampaikan notis mesyuarat serta melantik pengerusi bebas.
Bagaimanapun, permohonan itu dibantah oleh pihak responden.
Dalam afidavit jawapan yang difailkan pada 6 Ogos lalu, Chee Hin mempertikaikan keperluan campur tangan mahkamah dengan menyatakan syarikat itu masih menguruskan hal berkaitan kerjaya badminton profesional anaknya.
Buat masa ini Lee Zii Jia masih belum mengeluarkan kenyataan tentang perkara itu.