Kejohanan Langkawi Merdeka Cup Nostalgia 1993 bakal menjadi pentas pertemuan semula beberapa legenda yang pernah mencipta sejarah bersama skuad Kedah dan Singapura.
Pada perlawanan akhir Piala Malaysia 1993 yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kedah muncul juara selepas menundukkan Singapura 2-0 hasil jaringan Radhi Mat Din dan Lee Kin Hong.
Gamit Memori Perseteruan Kedah-Singapura
Sehubungan dengan itu, perlawanan yang menampilkan barisan legenda kedua-dua negara ini pastinya menggamit nostalgia.
Menurut sumber laporan Harian Metro, bekas jurulatih Robert Alberts turut mengesahkan kehadirannya ke kejohanan tersebut bersama tiga lagi tonggak import yang pernah mewarnai skuad Kedah pada era berkenaan.
Kehadiran Olubunmi Adigun, Tibor Szaban dan Peter Nieketien pastinya menjadi antara tarikan utama buat peminat bola sepak tanah air, khususnya penyokong yang pernah menyaksikan kegemilangan skuad Hijau Kuning pada era 1990-an.
Selepas lebih tiga dekad, para legenda berkenaan bakal kembali bertemu penyokong dalam suasana penuh nostalgia di Stadium LADA, Langkawi pada 29 Ogos 2026.
Pengerusi penganjur, Datuk Zuraidi Rahim menyifatkan pengesahan kehadiran Alberts bersama bekas anak-anak buahnya itu sebagai satu berita yang membuatkan penyokong Kedah teruja.
“Ramai penyokong membesar dengan menyaksikan aksi mereka. Kehadiran semula legenda-legenda ini bukan sekadar mengimbau kenangan, malah menjadi penghargaan kepada generasi pemain yang pernah mewarnai bola sepak Malaysia.”
Selain tiga pemain import tersebut, skuad Hijau Kuning bakal diperkuatkan dengan kehadiran Faridzuan Che Hamid, Feriza Ismail, Lim Teong Kim, dan penjaga gol, Azmi Mahmud.
Manakala Singapura pula membariskan Fandi Ahmad, Malek Awab, Abbas Saad dan Alistair Edwards.