LEGOLAND® Malaysia Resort baru-baru ini telah mengadakan sesi pratonton MINILAND Amazing Malaysia iaitu rancangan pembinaan model LEGO baharu yang menampilkan landskap, seni bina dan budaya indah dari timur ke barat Malaysia.

MINILAND Amazing Malaysia, Tarikan terkini di LEGOLAND® Malaysia

Baca Juga:

MINILAND Amazing Malaysia yang bakal dilancarkan pada Ogos 2023 depan akan menggunakan 1.38 juta LEGO bagi membina 126 model yang dibahagikan kepada Malaysia Timur, Malaysia Barat dan Laut China Selatan.

Menurut Pengarah Bahagian LEGOLAND® Malaysia Resort iaitu CS Lim, dengan pembukaan MINILAND Amazing Malaysia, pengunjung berpeluang melihat tapak warisan bersejarah Seperti Kota Bharu (Kelantan), Gua Mulu (Sarawak) dan Georgetown (Pulau Pinang) di mana kesemuanya diperbuat daripada LEGO.

Malaysia mempunyai begitu banyak destinasi indah yang dipenuhi dengan seni bina luar biasa, lanskap, budaya dan sejarah.
Melalui MINILAND Amazing Malaysia, tetamu akan dapat merasai destinasi Malaysia dengan hanya satu hentian di LEGOLAND® Malaysia Resort.

Tarikan 17 negara Asia selain Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif Merlin Entertainments, Scott O’Neil pula berkata, LEGOLAND Malaysia Resort merupakan pusat pelancongan yang unik berbanding LEGOLAND lain di seluruh dunia. Keunikan dan penerapan budaya tempatan menjadikan LEGOLAND Malaysia sebagai salah satu tempat pelancongan antarabangsa yang mampu menarik ramai pengunjung.

Sementara itu, tetamu yang merancang untuk berkunjung ke LEGOLAND Malaysia Resort kini boleh menikmati keindahan MINILAND tidak kira ketika cuaca terik mahupun hujan dengan adanya struktur teduhan setinggi 5 tingkat baharu yang meliputi seluruh kawasan tersebut.

Para tetamu boleh menikmati pengalaman lebih sejuk dan selesa dan pengunjung juga boleh melihat karya unik yang dibina dengan lebih 30 juta LEGO yang mempamerkan tarikan terkenal dari 17 negara Asia.

Pembelian tiket masuk ke taman tema LEGOLAND Resort Malaysia boleh dibeli secara atas talian www.legoland.com.my atau menerusi kaunter LEGOLAND di Johor Bahru.