Seorang usahawan dan pencipta kandungan, Khairul Jamain, telah membuka mata ramai apabila berkongsi pengalamannya yang cukup mengecewakan di Facebook baru-baru ini apabila berdepan dengan pihak berkuasa.

Niat asalnya cuma nak bina jalan ke tanah miliknya sendiri di Negeri Sembilan, tapi akhirnya dia dan rakannya berdepan dengan dakwaan berat serta kehilangan sumber rezeki.

Cerita ini bermula Februari 2025, di mana Khairul hanya mahu akses ke tanahnya yang terletak berhampiran sungai.

Untuk itu, dia dan seorang rakan (pemilik jentolak) mulakan pembinaan jalan sejauh 150 meter melalui kawasan rizab sungai.

pihak berkuasa
Sumber: Khairul Jamain

Mereka juga dah dapat kebenaran dari ketua kampung — tapi malangnya tidak dari pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), yang sebenarnya mempunyai bidang kuasa di kawasan rizab sungai.

Wanita Cina Lapor Kepada Pihak Berkuasa

Pada hari ketiga kerja-kerja pembinaan, seorang wanita Cina tampil mendakwa bahawa mereka telah menceroboh tanah miliknya.

Katanya, walaupun kawasan itu rizab sungai, dia telah tanam pokok di situ.

Beliau terus membuat laporan polis dan kepada pejabat tanah.

Tanpa sebarang waran, petang itu juga pihak berkuasa, iaitu pegawai tanah dan polis datang dan hentikan kerja serta mahu merampas jentolak tersebut.

Menurut Khairul, semuanya berlaku “atas arahan pihak atasan”.

pihak berkuasa
Sumber: Khairul Jamain

Lebih mengejutkan, Khairul dan rakannya kemudian dikenakan dakwaan di bawah Seksyen 425 dan Seksyen 426(5) Kanun Tanah Negara – satu kesalahan yang boleh membawa denda sehingga RM500,000, penjara 5 tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Kami ikut saluran yang betul, tapi masih diperlakukan sebegini”
Khairul kecewa kerana tidak mendapat layanan yang adil.

Dia bandingkan layanan pihak berkuasa dengan kesnya dan isu petani durian haram di Raub dan Dengkil yang menurutnya, “tidak pula dikenakan tindakan setegas ini walaupun telah bercucuk tanam secara haram selama puluhan tahun.”

“Kami tak viralkan, tak cari YB, tak panggil media. Tapi sekarang…”

Paling menyedihkan, jentolak milik rakannya masih belum dipulangkan hingga kini.

pihak berkuasa
Sumber: Khairul Jamain

Itu satu-satunya sumber pendapatan sahabatnya.

Mereka dah hantar permohonan rasmi kepada JPS dan pejabat tanah — tapi tiada jawapan walau selepas berbulan menunggu.

Khairul bukan nak cetuskan kontroversi.

Tapi dia mahu masyarakat buka mata tentang isu penguatkuasaan undang-undang yang berat sebelah.

“Kami bukan tanam durian, kami cuma nak buat jalan ke tanah kami sendiri,” luahnya.