Sekitar beberapa hari lalu, tular di media sosial mengenai Zhang Xiaotao, 30 tahun, salah seorang atlet pelari jarak jauh di China yang berjaya diselamatkan oleh seorang pengembala kambing tempatan daripada menjadi mangsa maut perlumbaan larian ultramaraton 100 kilometer di kawasan pergunungan Baiyin, Gansu di China, lapor Reuters.
Acara larian sejauh 100 kilometer itu telah mengorbankan seramai 21 nyawa daripada 172 peserta disebabkan hipotermia selepas mereka menempuh pelbagai laluan larian yang sukar tambahan pula faktor cuaca sejuk yang ekstrem dan hujan lebat di pergunungan tersebut.
Difahamkan bahawa Zhang juga hampir maut disebabkan hiportemia yang melampau. Dia terjatuh lalu pengsan semasa berlari. Bernasib baik, Zhang terselamat selepas ada seorang pengembala kambing tempatan, Encik Zhu Keming yang sempat menariknya masuk ke dalam sebuah gua untuk dirawat.

“Saya pengsan dalam sekitar tempoh 2 jam di lokasi kejadian sehinggalah ada seorang pengembala kambing yang lalu di situ kemudiannya sempat menarik saya masuk ke dalam sebuah gua.
“Dia membakar unggun api dan menyelimuti saya dengan selimut. Sejam kemudiannya, saya tersedar dan bersyukur kepada Pak Cik Zhu kerana telah menyelamatkan saya.
“Tanpa beliau, saya mungkin akan mati terlantar di situ dan sampai bila-bila saya takkan melupakan peluang kedua yang telah dia berikan kepada saya,” tulis Zhang menerusi hantaran di laman media sosial Weibo.

Zhang dikatakan tidak tidur sepanjang malam pada hari dia diselamatkan dan hari perlumbaan itu bermula iaitu pada Sabtu, 22 Mei lalu kerana memikirkan nasib pelumba lain yang turut berisiko untuk maut dalam kejohanan ini.
Walau bagaimanapun, Zhang dan 150 perserta yang terselamat kemudiannya segera diselamatkan oleh pihak pegawai keselamatan manakala semua mayat 21 mangsa yang terkorban berjaya dijumpai pada pagi Ahad berikutnya.

Dalam pada itu, mengecewakan apabila pihak penganjur mendakwa perlumbaan ultramaraton tersebut yang bermula sekitar jam 12.00 tengah hari itu telah dihentikan pada jam 2.00 petang. Penangguhan tersebut telah dihebahkan kepada semua pelumba.
Ia diambil kira setelah pihak penganjur menerima mesej dalam grup perbualan bahawa ada beberapa pelumba yang telah tercedera semasa perlumbaan, lapor agensi berita Xinhua memetik Reuters. Walau bagaimanapun, segelintir peserta mendakwa bahawa pihak penganjur langsung tidak memberitahu mereka mengenai penangguhan tersebut.

“Penganjur sepatutnya menempatkan beberapa pegawai keselamatan di setiap platform perlumbaan di laluan yang sukar untuk membantu menyalurkan info penting dan memberikan pertolongan kecemasan kepada pelumba yang kepenatan atau tercedera,” kata Zhang lagi.
Setelah mengetahui tragedi yang begitu menyayat hati ini, pihak kementerian sukan China segera mengadakan mesyuarat tergempar untuk mengambil tindakan selanjutnya ke atas pihak penganjur ultramaraton Baiyin.
Netizen sangsi dengan peserta yang mempunyai BMI berlebihan ini mampu berlari 10 kilometer dalam tempoh 51 minit. Anda boleh membacanya pada pautan di bawah.
Punyai BMI Berlebihan, Netizen Sangsi Peserta Ini Mampu Berlari 10 Kilometer Dalam Tempoh 51 Minit
Eliud Kipchoge Cipta Sejarah Pelari Pertama Tamatkan Maraton Bawah Dua Jam
Acara Maraton Terburuk Di Dunia Jatuh Kepada Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon