Seorang pesara berusia 70 tahun di Tangkak berdepan detik malang apabila beliau ditipu oleh seorang kenalan sendiri yang mendakwa dirinya sebagai bomoh dan boleh merawat gangguan makhluk halus yang kononnya mengacau ahli keluarganya.

Lelaki warga emas itu menyerahkan wang tunai dan barang kemas bernilai kira-kira RM445,000 kepada suspek yang menawarkan perkhidmatan rawatan tradisional.

Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, mangsa yang percaya kepada dakwaan kenalannya itu mula menyerahkan aset secara berperingkat dari Mac hingga awal April.

Percayakan Bomoh: Duit Lesap, Hati Remuk

Dalam tempoh tersebut, bomoh dikatakan memperdaya mangsa dengan mengatakan keluarganya sedang ‘diganggu’ dan rawatan tradisional perlu dilakukan segera bagi mengelakkan perkara lebih buruk.

Bomoh
Gambar hiasan

Mangsa yang benar-benar risau akan keselamatan ahli keluarganya tidak menyangka bahawa dia sedang diperdaya.

Dengan niat ikhlas untuk membantu, dia akhirnya menyerahkan sejumlah wang tunai dan barang kemas sebagai “bayaran” rawatan tersebut.

Namun, segalanya terbongkar apabila mangsa menyedari tiada sebarang perubahan berlaku dan mula merasa curiga.

Beliau kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Tangkak setelah menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Bomoh
Gambar hiasan

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan, dan juga denda.

Awas Rawatan Tradisional Palsu

Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang bentuk tawaran rawatan tradisional, terutamanya yang melibatkan permintaan untuk menyerahkan wang atau barang berharga.

Bomoh
Gambar hiasan

Pihak polis turut mengingatkan bahawa zaman sekarang, ramai yang menyalahgunakan kepercayaan masyarakat terhadap amalan tradisional untuk tujuan menipu.

Tambah beliau lagi, orang ramai yang menjadi mangsa scam atau penipuan seperti ini boleh segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk tindakan segera.