Pegawai kastam China telah menahan seorang lelaki yang cuba menyeludup 104 ekor ular hidup dengan cara yang tidak masuk akal – memasukkannya ke dalam seluarnya, lapor CNBC.

Insiden ini berlaku minggu lalu di Pelabuhan Futian, Shenzhen, sebuah pusat pemeriksaan yang memisahkan Hong Kong dengan tanah besar China.

Lelaki tersebut kelihatan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

Apa yang  ditemui sangat mengejutkan – enam beg plastik disumbat dalam poket seluar lelaki itu, setiap satunya penuh dengan pelbagai jenis ular hidup.

Keseluruhan kiraan menunjukkan sebanyak 104 ekor reptilia tersembunyi di dalam seluarnya.

Menurut sumber dari Russia Today, lima spesies ular yang dikenalpasti adalah ular susu, ular hognose barat, ular jagung, ular tikus Texas, dan ular lembu.

Empat daripada spesies ini tidak berasal dari China dan oleh itu, dilarang dibawa masuk ke negara tersebut tanpa sijil yang sah.

Walaupun pihak kastam tidak mendedahkan identiti lelaki itu atau status penahanannya, mereka memberi amaran bahawa tindakan sebegini boleh dikenakan undang-undang yang berat.

Di bawah undang-undang China mengenai biokeselamatan dan kawalan penyakit, menyeludup haiwan eksotik tanpa kebenaran boleh membawa kepada tindakan keras dari pihak berkuasa.

Pemerdagangan haiwan bukanlah perkara baru di China, walaupun undang-undang negara tersebut melarang amalan tersebut.

Bulan lalu, CCTV News melaporkan satu lagi kes di mana seorang lelaki telah ditahan ketika cuba menyeludup 454 ekor penyu, termasuk beberapa spesies terancam, dari Macau ke tanah besar China.