Dalam dunia yang sering mengagungkan pelajar straight A dan lulusan terbaik universiti, seorang lelaki tampil dengan kisah yang cukup luar biasa, iaitu bagaimana beliau berjaya naik gaji dengan begitu cepat – bukan kerana dia pelajar cemerlang, tetapi kerana dia berjaya membuktikan bahawa kejayaan kerjaya tidak semestinya milik mereka yang ‘top student’ sahaja.
Baru-baru ini, seorang pengguna Threads telah berkongsi secara jujur perjalanan kerjayanya.
Walaupun tidak pernah berada dalam kelompok pelajar paling cemerlang, beliau berjaya melonjakkan gajinya daripada RM3,500 kepada RM15,000 sebulan dalam masa hanya tujuh tahun.

Kisahnya menarik perhatian ramai kerana ia dekat dengan realiti majoriti rakyat Malaysia yang juga bermula dengan langkah kecil.
Perjalanan Akademik Sehingga Ke Kerjaya
Menurut beliau, perjalanan akademiknya bermula dengan keputusan yang baik, namun tidak luar biasa—5A dalam UPSR, 7A 1B dalam PMR, dan 7A 2B dalam SPM.
Keputusan yang membanggakan, namun tidak cukup untuk menjadikannya pelajar paling menonjol di sekolah.
Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Petronas dan menamatkan pengajian dengan CGPA 3.27.

Sekali lagi, keputusan itu baik tetapi bukanlah dalam kategori ‘first class’ yang sering diagung-agungkan.
Namun, apa yang berlaku selepas tamat pengajian adalah titik tolak kepada perubahan besar dalam hidupnya.
Tanpa berlengah, beliau mula bekerja dengan gaji permulaan sebanyak RM3,500 sebulan.
Sepanjang tujuh tahun berikutnya, beliau bertukar kerja sebanyak empat kali—dan dengan setiap langkah itu, beliau bukan sahaja menambah nilai pada resume, tetapi juga meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidangnya.
Beliau berkongsi bahawa strategi utama untuk melonjakkan gaji bukanlah semata-mata dengan berpindah tempat kerja, tetapi dengan memastikan setiap pengalaman kerja itu digunakan sepenuhnya untuk belajar, mengasah kemahiran, dan mendapatkan pensijilan profesional yang relevan.

Baginya, setiap pekerjaan adalah tempat untuk berkembang, bukan sekadar tempat singgah.
Pengalaman Dan Kemahiran Lebih Baik Dari Keputusan Akademik
Apa yang lebih menarik, beliau turut menekankan bahawa dalam dunia kerja hari ini, kemahiran dan pengalaman sering lebih dihargai berbanding keputusan akademik semata-mata.
Ramai majikan kini lebih berminat dengan apa yang anda mampu lakukan dan sumbangkan, berbanding berapa banyak A yang anda kumpul di sekolah dahulu.