Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, kedai mamak sudah menjadi sebahagian daripada budaya hidup.
Namun, bagi mereka yang sedang dalam misi menurunkan berat badan, tempat ini sering dianggap sebagai ‘kawasan larangan’.
Tanggapan ini disangkal oleh seorang pemuda yang pernah mencecah berat badan 130KG.
Menerusi YouTube @jordanchiafit, beliau membuktikan bahawa untuk kurus dan sihat, seseorang tidak perlu melupakan kedai mamak, sebaliknya hanya perlu mengubah cara memesan makanan.
Detik Cemas Jadi Titik Permulaan
Sebelum memulakan gaya hidup sihat, tabiat pemuda ini di kedai mamak dipenuhi dengan makanan berkalori tinggi. Menu wajibnya setiap hari termasuklah:
– Maggi Goreng Ayam (Dua Porsi/Double Portion)
– Roti Telur sebagai hidangan sampingan
– Milo Ais Kaw-Kaw
Akibat amalan pemakanan tersebut, berat badannya melonjak naik sehinggalah pada satu malam, beliau terjaga daripada tidur dan sukar untuk bernafas.
Detik cemas di dalam kegelapan malam itulah yang menjadi titik tolak untuk beliau melakukan perubahan besar dalam hidup.
Strategi ‘Diet Sihat’ Di Kedai Mamak
Menurutnya, kesilapan utama bukanlah pada kedai mamak itu sendiri, tetapi pada menu pilihan kita. Berikut adalah transformasi menu yang diamalkannya:
1. Jadikan ‘Abang Mamak’ Rakan Karib
Langkah pertama apabila melangkah ke kedai mamak adalah membina hubungan baik dengan pelayan. Apabila mereka sudah mengenali anda, proses memesan makanan yang disesuaikan mengikut diet menjadi jauh lebih mudah.
2. Tukar Roti Canai Kepada Thosai Telur
Beliau memilih Thosai Telur kerana ia mengandungi protein yang lebih tinggi dan kurang minyak berbanding roti canai. Makanan ini juga mampu memberikan rasa kenyang yang lebih lama.
“Setiap kali memesan, pastikan anda memesan: ‘Bro, kurang minyak sikit tahu?'”
3. Tambah Protein Dengan Ayam Tandoori
Sekiranya memerlukan protein tambahan, pilihan terbaik adalah Ayam Tandoori, terutamanya bahagian dada (chicken breast). Bahagian ini mempunyai porsi yang besar, rendah lemak, dan tinggi protein yang boleh menahan lapar untuk tempoh berjam-jam.
4. Potong Kalori Air Cecair: Teh O Ais Kosong
Ini merupakan fasa di mana ramai orang gagal tanpa disedari. Beliau menetapkan disiplin yang ketat dengan hanya memesan Teh O Ais Kosong (Tanpa Gula) setiap kali makan di luar tanpa sebarang pengecualian.
“Anda tidak perlu meninggalkan kedai mamak, anda cuma perlu meninggalkan tabiat memesan makanan yang lama,” kata
Kunci utama penurunan berat badan adalah konsistensi dan kebijaksanaan dalam memilih makanan.
Jadi, selepas ini tiada lagi alasan untuk menolak pelawaan rakan-rakan ke kedai mamak, asalkan anda tahu apa yang perlu dipesan.