Seorang lelaki maut dalam kebakaran yang melanda sebuah unit kondominium di Mont Kiara malam tadi, petik Free Malaysia Today.
Jabatan bomba dan penyelamat Kuala Lumpur berkata mereka menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG999 yang memaklumkan tentang insiden di kondominium Tiffani Kiara.
Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati sebuah unit di tingkat 26 telah marak dijilat api.
Jabatan itu berkata dalam satu kenyataan bahawa usaha memadam kebakaran dan menjalankan operasi menyelamat tergencat akibat kegagalan sistem pencegahan kebakaran bangunan, memaksa anggota bomba menggunakan dua pam mudah alih dan satu pam jentera bomba untuk menyalurkan air ke tingkat terlibat.
Pasukan penyelamat menemui seorang lelaki di balkoni dengan kecederaan melecur pada seluruh badan.
Pegawai perubatan kementerian kesihatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 2.03 pagi, dengan kira-kira 1,500 kaki persegi unit berkenaan musnah.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.