Seorang usahawan tempatan dengan ideanya genius telah mencipta sebuah bot yang boleh digunakan orang ramai untuk membazirkan masa scammer melalui aplikasi pemesejan WhatsApp.

Digelar “Scammers On Hold AI”, atau singkatannya SOHAI, chatbot WhatsApp AI ini terhasil dari cetusan idea Dylan Tan, pengasas dan CEO Replyr.ai yang berpangkalan di Singapura, sebagai cara untuk melawan penipu.

Tan malah berkongsi ciptaannya menerusi grup FB Entrepreneurs and Startups in Malaysia, yang mana dia menjelaskan bahawa pengguna hanya perlu memberikan nombor telefon SOHAI kepada scammer dengan klik di sini.

Chatbot AI kemudiannya akan membuang masa penipu secara berterusan dengan memberikan alasan atau jawapan menyimpang dan juga berlakon ‘blur’.

Tambahnya lagi, jika penipu tidak membalas, SOHAI akan membuat susulan dengan penipu untuk terus mengganggu mereka.

Menariknya, SOHAI akan menyimpan setiap interaksi ke dalam carta di Google Sheet dengan maklumat tempoh masa yang dibuangkan, ringkasan isi kandungan mesej dan taktik yang digunakan oleh bot untuk membuang masa dengan scammer.

Bot lawan scammer
Sumber Gambar: FB

Tan turut melampirkan beberapa tangkapan skrin yang menunjukkan SOHAI bertindak terhadap tiga penipu dan Google Sheet yang meringkaskan setiap perbualan.

Kebolehan bot bersembang dalam multi-bahasa seperti Melayu, Inggeris dan Mandarin bakal membuka peluang lebih besar untuk membuang masa lebih banyak scammer yang mungkin datang dari pelbagai negara lain.

Tan turut berseloroh “Setiap minit masa penipu yang terbuang adalah kurang satu minit daripada mereka menipu orang lain. Nikmati!” di pengakhiran hantarannya.

Rupanya projek ini telah pun dilancarkan sejak tahun lalu lagi dan kini baru menjadi sensasi selepas dikongsikan semula oleh Tan di platform Linkedin pada beberapa hari lalu.