Pada awal tahun ini, media Pro-Ukraine telah menuduh kerajaan Rusia telah mengambil beberapa rakyat Malaysia sebagai tentera upahan asing dalam konflik di negara mereka.

Perkara ini menjadi bualan semula di internet apabila tular dua keping gambar yang menunjukkan dokumen rasmi Malaysia yang didakwa ditemui di medan peperangan antara Ukraine dan Rusia.

Dokumen yang berjaya ditemui termasuklah kad pengenalan MyKad dan juga lesen memandu berdaftar dari Malaysia.

Difahamkan kedua-dua dokumen itu telah ditemui selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Livadny (Ukraine: Levadne), Zaporizhia.

Berdasarkan pemerhatian gambar-gambar yang tular tersebut, lesen memandu milik individu beralamat di sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia adalah sah sehingga Februari 2025.

Memetik laman AirTimes, gambar dokumen ini tular di beberapa saluran Telegram yang dikendalikan pemerhati perang pro-Rusia dan kami sendiri juga menemui di platform X yang dikongsikan secara meluas oleh pengguna.

Selain rakyat Malaysia, turut didapati  pasport serta dokumen identiti beberapa individu dari negara lain seperti Turkiye dan Croatia.

Tambahnya, satu akaun di platform media sosial VK yang dikendalikan individu yang mendakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan Wagner menyatakan dokumen tersebut diperoleh oleh pihak 336th Guards Naval Infantry Brigade (336th Marine Brigade).

“Baru-baru ini, anggota penyerang dari 336th Marine Brigade telah menyerbu beberapa kubu kuat musuh termasuk di Livadny,” kata pengendali akaun terbabit, sambil menambah bahawa tentera Rusia telah berjaya menumpaskan elemen tentera Ukraine serta pejuang asing di kawasan itu.

Buat masa ini, status warga tempatan yang tular itu masih belum dapat dipastikan sama ada masih hidup atau sebaliknya.