Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva disebut menjadi salah satu calon untuk dijadikan sebagai pemain naturalisasi terbaru bagi skuad Harimau Malaya.
Pemain ini meletakkan bendera Malaysia di bio laman media sosial Instagram miliknya sekaligus memberi petunjuk kepada peminat bola sepak tanah air.
Baca Juga:
- Proses Pasport Pemain Warisan Dari Belanda Di Peringkat Akhir
- Ini Posisi Pemain Warisan Yang Dikenal Pasti Kem Harimau Malaya
- Tunku Ismail Dedah 7 Pemain Warisan Sudah Dikenal Pasti, Harap Kerajaan Bantu Dapatkan Pasport Malaysia

Sebelum ini, pemain kelahiran Brazil itu disebut sebagai salah satu pemain yang bakal menjalani proses naturalisasi berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemilik JDT iaitu Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor.
“Bergson boleh dinaturalisasikan sebagai langkah jangka pendek selepas genap 5 tahun di Malaysia, Hidalgo juga untuk jangka panjang, dan dengan pemain lain yang sedia ada.”
“Pemain JDT semua sudah bersedia. Jurulatih dan pengarah sukan baharu itu sedang mengumpul data mengenai pemain Malaysia dalam Liga Super dan mereka di luar negara,” kata Tunku Ismail.

“Saya sentiasa di sini kerana saya sentiasa berasakan ini adalah rumah saya. Saya sangat pasti bos (TMJ) akan mebuat keputusan yang bernas untuk kami. Saya mempercayainya dan sangat menyayangi negara ini,” kata Bergson.
Melihat kepada rekod jaringan yang dimiliki Bergson selama beraksi bersama JDT dalam saingan Liga Malaysia, beliau mempunyai peluang untuk menyinar bersama skuad kebangsaan andai dijadikan sebagai pemain naturalisasi.
Bergson membantu JDT memenangi semua kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia selain muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super pada musim 2022.
Pemain berusia 33 Tahun itu turut mencipta gandingan yang baik bersama pemain seperti Arif Aiman yang mana dua pemain ini boleh meningkatkan kualiti jentera serangan pasukan negara.
Sebelum ini, Malaysia mempunyai beberapa pemain naturalisasi di bahagian serangan seperti Mohamadou Sumareh, Guilherme De Paula, Sergio Aguero dan Romel Morales.
Sumareh menampilkan prestasi yang baik namun sumbangan beliau terhad dalam tempoh waktu singkat pada 2019 dan selepas itu pemain kelahiran Gambia itu tidak memberikan impak yang besar terhadap pasukan negara.
De Paula kemudiannya menggalas tugas sebagai penggempur utama negara namun kehadiran beliau banyak dihiasi dengan kritikan dari penyokong ekoran gagal untuk menampilkan prestasi terbaik.
Romel menjadi penyerang terbaru yang diberikan kerakyatan dan setakat ini beliau menjaringkan dua gol khususnya jaringan ketika Malaysia mengikat Korea Selatan dalam aksi peringkat kumpulan temasya Piala Asia 2023.