Pihak Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid KL) mengesahkan telah berlaku satu insiden teknikal yang melibatkan bunyi letupan kecil di Laluan LRT Kelana Jaya pada jam 7.18 malam semalam.

Kejadian tersebut berlaku membabitkan tren bernombor 57 yang ketika itu sedang berada di Stesen Taman Jaya menuju ke arah Putra Heights.

Sebagai langkah keselamatan utama, pihak operasi telah mengarahkan kesemua penumpang diturunkan dengan serta-merta di stesen berkenaan sebelum mereka meneruskan perjalanan menggunakan tren yang berikutnya, petik kenyataan rasmi.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden ini dan jadual perkhidmatan Laluan Kelana Jaya secara keseluruhannya tidak terjejas serta beroperasi seperti biasa.

Punca Letupan Kecil Di Laluan LRT Kelana Jaya

“Hasil pemeriksaan awal dan penelitian menyeluruh oleh pasukan teknikal mendapati bahawa struktur tren LRT serta komponen utamanya tidak mengalami sebarang kerosakan. Siasatan lanjut di kawasan landasan antara Stesen Universiti dan Stesen Taman Jaya turut mengesahkan infrastruktur berada dalam keadaan baik dan selamat untuk operasi.

“Bagaimanapun, pasukan teknikal telah menemui seutas dawai halus yang telah cair di lokasi kejadian. Siasatan mengesahkan dawai berkenaan bukan sebahagian daripada komponen asal tren LRT mahupun sistem landasan.

“Dawai asing tersebut dipercayai telah tersangkut pada sistem bekalan kuasa lalu mencetuskan tindak balas yang menghasilkan bunyi letupan kecil itu,” petik kenyataan rasmi.

Tambahnya lagi, pihak Rapid KL memandang serius terhadap sebarang insiden yang menyentuh aspek keselamatan penumpang.

Siasatan lanjut dan langkah-langkah pencegahan sedang dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang kembali pada masa hadapan.

Para pengguna dinasihatkan untuk merujuk saluran media sosial rasmi Rapid KL atau menggunakan aplikasi MyRapid PULSE bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai status perkhidmatan.

Sumber