Perak mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Super Malaysia 2024/25 selepas tunduk kepada PDRM FC 2-3 pada aksi yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Lebih pedih buat Perak, kejayaan pasukan pelawat itu hadir pada saat akhir permainan menerusi Ifedayo Olusegun.

Baca Juga:

Beraksi di laman sendiri yang dihadiri 11,647 penyokong sendiri, anak buah Yusri Che Lah bermula garang dengan dua percubaan berbahaya daripada Luciano Guaychochea dan Tommy Mawat Bada.

Percubaan voli ketua pasukan Perak seawal minit keempat itu gagal ditangkap kemas penjaga gol, Bryan See tetapi pertahanan mengeluarkan dari kawasan bahaya.

Manakala, rembatan padu Tommy Mawat berselang dua minit kemudian pula sekadar singgah di tepi jaring sebelah kiri pintu gol PDRM.

Tommy menebus kekecewaan tersebut pada minit kesembilan setelah ledakannya dalam kawasan penalti berjaya menewaskan Bryan untuk meletakkan Perak dihadapan.

Aksi selepas itu lebih menarik dengan PDRM mencipta beberapa peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan.

Skuad kendalian P. Maniam itu mendapat sepakan penalti pada minit ke-16 tetapi dibatalkan selepas rujukan Video Assistant Referee (VAR).

Kelebihan Perak dipadamkan PDRM pada minit ke-24 selepas Ifedayo Olusegun menanduk masuk hantaran lintang dilakukan Obus Prince Austin Aggreh.

VAR kemudiannya membatalkan sepakan penalti yang dihadiahkan oleh pengadil yang mendakwa bola terkena tangan Muhammad Fakhrul Azim Mohd Zulpatah.

PDRM mendapatkan gol kedua menerusi Bruno Suzuki pada minit ke-72 selepas beliau menyudahkan peluang hasil hantaran Muhammad Eizrul Ashraf Nor Affendy.

Dua minit kemudian, Perak hampir menyamakan kedudukan tetapi tandukan pemain gantian, Luka Milunovic sekadar singgah di palang gol.

Kesilapan Bryan See yang gagal menumbuk bola dengan baik telah memberikan ruang buat Wan Zack Haikal Wan Nor untuk menyamakan kembali kedudukan ketika aksi memasuki minit ke-87.

Ifedayo akhirnya muncul wira buat PDRM selepas percubaannya hasil serangan balas pantas gagal diselamatkan Haziq Nadzli untuk menghadiahkan kemenangan sulung buat pasukannya dalam kempen liga.