Kemarau kemenangan di tempat lawan berterusan apabila Selangor FC (SFC) hanya mampu mencatat keputusan 1-1 ketika menentang Sri Pahang pada aksi Liga Super 2024-2025 di Stadium Temerloh.

Skuad kendalian Nidzam Jamil itu terlebih dahulu membuka akaun jaringan seawal minit ketiga menerusi rembatan Alvin Fortes yang mudah menewaskan penjaga gol tuan rumah, Zarif Irfan.

Baca Juga:

Tersentak dengan jaringan itu, Tok Gajah bangkit mengandakan asakan namun berdepan masalah ketumpulan penyudah. Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan oleh tuan rumah.

Peluang terbaik Sri Pahang hadir menerusi rembatan dari luar kotak penalti oleh Manuel Hidalgo tetapi pemain import dari Argentina itu terus ke dakapan penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid pada minit ke-20.

Lapan minit kemudian, Mykola Ahapov yang hanya berhadapan dengan Khairul Azhan terlepas peluang untuk menjaringkan gol penyamaan apabila bola tendangannya terkena palang sebelah kanan lawan.

Namun, tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama, kapten pasukan, Stefano Brundo memastikan Sri Pahang berjaya menyamakan kedudukan 1-1.

Memasuki separuh masa kedua, Sri Pahang beraksi dengan 10 pemain selepas Ahapov dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah kerana mengasari pemain lawan pada minit ke-62.

Namun, kekurangan seorang pemain tidak mengganggu Sri Pahang yang kekal bertahan ketika Selangor gagal memanfaatkan peluang yang ada untuk menambah jaringan apabila akur terikat 1-1 sehingga tamat perlawanan.