Janji yang pernah dilafazkan di pentas Bogor Mei lalu akhirnya bakal menjadi kenyataan. Lima pemuzik tersohor dari Indonesia – Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi dan Idgitaf – sah bakal meneruskan perjalanan muzik mereka ke Malaysia menerusi Tur SAMA SAMA, yang akan berlangsung di Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada 5 Disember 2025.
Tur ini menandakan hentian kelima selepas persembahan mereka di empat kota besar Indonesia – Bandung, Surabaya, Yogyakarta dan Bogor – yang semuanya mendapat sambutan luar biasa daripada peminat.
Janji yang Ditepati
Saat menutup siri konsert di Bogor, Tulus pernah berjanji kepada peminat bahawa perjalanan muzik mereka tidak akan terhenti di situ.
“Khabar baiknya, kami akan melanjutkan perjalanan. Kita bakal pergi ke Malaysia,” katanya ketika itu — satu kenyataan yang kini benar-benar direalisasikan.

Tur SAMA SAMA membawa konsep kolaborasi lintas suara dan genre — di mana kelima-lima artis bukan sahaja akan mempersembahkan lagu masing-masing, tetapi juga bertukar karya serta menghadirkan susunan lagu baharu yang dicipta khas untuk siri tur ini.
Sal Priadi menyifatkan projek ini sebagai sesuatu yang sangat istimewa.
“Kami sedang merealisasikan janji yang diucap. Kami tak sabar untuk berkongsi format persembahan kolaborasi ini — dari solo, duet, trio hingga kuintet. Ia pengalaman yang tidak pernah kami lakukan sebelum ini,” katanya.
Anjuran Bersama Tiga Negara
Tur SAMA SAMA di Malaysia dianjurkan bersama oleh PT Expo Indonesia Jaya (ExpoIndo), Tiga Dua Satu, dan Thrive Events, yang berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan muzik lima sahabat ini.
Menurut Udzir Harris dari Thrive, pengumuman kehadiran Tur SAMA SAMA ke Malaysia merupakan “mimpi besar yang kini hampir direalisasikan”.
Sementara itu, Bram Tulong dari ExpoIndo menyifatkan kolaborasi tersebut sebagai “janji dan penghormatan kepada apresiasi besar peminat Malaysia terhadap pemuzik Nusantara”.

Tiur Tobing dari Tiga Dua Satu pula mengingatkan peminat agar tidak melepaskan peluang ini.
“Sampai jumpa di Tur SAMA SAMA di Idea Live Arena pada 5 Disember nanti. Jangan sampai tak beli tiketnya, kerana anda akan rugi terlepas momen tur kolaborasi paling epik tahun ini,” katanya.
Tiket Bermula RM228
Tiket pra-jualan (presale) Tur SAMA SAMA telah pun dibuka pada 29 September 2025, bermula dengan harga RM228. Sebanyak 11 kategori tiket ditawarkan – Bronze, Crystal, Silver, Gold, Diamond, Platinum, Ruby, Sapphire, Emerald, Emerald Extra dan Group Suite.
Pembelian boleh dibuat menerusi BBO Events dan laman rasmi samasamatur.com.
Bagi yang terlepas pusingan pertama, pra-jualan tambahan akan dilanjutkan dari 19 Oktober hingga 2 November 2025.