Salah seorang pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi menyatakan hasratnya untuk kembali beraksi bersama skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Liridon berkata demikian ketika menjawap soalan peminat di laman media sosial Instagram miliknya dimana beliau meletakkan sasaran untuk kembali dalam masa terdekat.

Baca Juga:

Liridon Krasniqi
Liridon Krasniqi

“Sudah pasti saya mahu beraksi bersama skuad kebangsaan. Saya akan kembali dalam masa terdekat. In sha allah,” katanya.

Liridon bergelar ejen bebas apabila beliau tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas beraksi dengan Terengganu FC dalam saingan Liga Malaysia musim lalu.

Bagi mengisi waktu lapang, pemain berusia 32 tahun itu menghabiskan waktu di Jerman dimana beliau terlibat dengan salah sebuah liga futsal di negara itu.

Liridon Krasniqi beraksi dalam sebuah liga futsal yang dinamakan sebagai Ballers League dan saingan tersebut menyaksikan sebanyak 12 pasukan mengambil bahagian dengan Liridon yang juga pernah beraksi bersama kelab Australia, Newcastle Jets itu menyarung jersi Gonrgy Allstars.

Musim lepas, beliau beraksi bersama Terengganu FC (TFC) secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) sehingga 30 November 2023. TFC merupakan kelab keempat Liga Malaysia yang disertainya selain JDT, Kedah dan Melaka United.

Selepas kontraknya bersama Harimau Selatan tamat, Liridon diberi ‘lesen’ untuk beraksi pada final Piala Malaysia 2023 menentang JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sebelum kembali ke Liga Malaysia, Liridon pernah dipinjamkan ke kelab Thailand, Khon Kaen United FC pada musim 2022.

Awal musim ini, terdapat ura-ura yang mengatakan beberapa kelab Liga Super mahu mendapatkan khidmat beliau namun atas sebab tertentu tiada persetujuan yang dicapai oleh pihak kelab dan pemain itu.